- Iklan -
Berita

Ini bukan ‘kerajaan perpaduan’, kata Ismail

Perdana menteri berkata kerjasama dengan pembangkang bukan bermakna memberikan mereka peranan dalam kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pentadbiran yang diketuai beliau bukan “kerajaan perpaduan” walaupun baru-baru ini menawarkan kepada parti-parti pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“(Dalam) Kabinet tak ada. Tidak ada kerajaan perpaduan yang melibatkan parti-parti pembangkang,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi dan mangsa banjir di Yan, Kedah hari ini, menolak spekulasi segelintir pemimpin parti pembangkang di media sosial.

Ismail turut berkata beliau akan menemui pemimpin pembangkang bagi membincangkan peranan mereka dalam kerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan krisis Covid-19.

Semalam, dalam perutusan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-9, Ismail menggesa semua pihak mengenepikan perbezaan pandangan politik dan menawarkan kerjasama dengan pembangkang dalam usaha negara keluar daripada krisis pandemik dalam MPN selain Jawatankuasa Khas Covid-19, dua badan yang ditubuhkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ismail hari ini berkata kerjasama bukan semestinya memerlukan mereka menjadi anggota Kabinet.

“Kita ada jawatankuasa khas menangani Covid, mereka boleh berikan pandangan idea mereka di sana,” katanya.

Selepas pengumuman Istana Negara yang mengesahkan Ismail mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan Rakyat.

Beberapa gesaan daripada pimpinan pembangkang dan penyokong mereka supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan yang turut dianggotai pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini MalaysiaNow memetik sumber PKR yang berkata Pengerusi PH Anwar Ibrahim kini sedang giat untuk penubuhan sebuah “kerajaan perpaduan” dan “persefahaman baru” dengan harapan ia dapat membuka jalan bagi kerjasama bersama beberapa ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam pada itu, Ismail turut menggesa orang ramai mengabaikan beberapa penularan senarai nama yang akan menganggotai Kabinet beliau, mengatakan semua senarai tersebut adalah palsu.

“Setiap hari ada senarai baru. Tapi elok juga, boleh juga bantu saya,” katanya dengan nada bergurau.