Monday, September 27, 2021

DAP pertimbang terima tawaran PM sertai MPN, jawatankuasa Covid-19

Bagaimanapun DAP memberikan syarat tawaran itu tidak menjadikannya sebagai wakil tidak penting dan sebagai pak turut kepada pandangan kerajaan.

Other News

DAP sedia mempertimbangkan tawaran untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Bagaimanapun dalam ciapan sebagai respons kepada ucapan sulung Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri hari ini, beliau berkata ia dengan syarat tawaran itu bukan menjadikan DAP sebagai wakil yang tidak penting dan sebagai pak turut kepada pandangan kerajaan.

“Pemenang tidak boleh mengambil semua dan yang tewas tidak kehilangan segalanya,” kata beliau ringkas dalam hantaran menerusi akaunTwitternya.

Dalam perutusan sulungnya yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen utama, Ismail Sabri mengajak kepimpinan parti pembangkang untuk menjadi sebahagian daripada MPN dan jawatankuasa khas menangani Covid-19.

Perdana menteri berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan dan kerjasama rentas parti dan menggesa semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat.

Tawaran itu juga dialu-alukan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Pada ketika ini kita berada di bulan kemerdekaan negara. Kemerdekaan daripada menentang penjajahan seterusnya membangunkan negara. Marilah bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan demi negara tercinta,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles