- Iklan -
Berita

Ismail Sabri angkat sumpah sebagai PM ke-9

Beliau mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat dari jumlah keseluruhan 220 ahli.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 hari ini, sehari selepas Istana Negara mengesahkan beliau menerima 114 sokongan dari 220 ahli Dewan Rakyat.

Ismail mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dengan disaksikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan dan menyebabkan pencarian perdana menteri seterusnya.

Ismail, 61, dilantik sebagai perdana menteri susulan proses teliti yang dilakukan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam pencarian calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti.

Ismail Sabri membaca sumpah pelantikannya sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

114 ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada beliau terdiri dari Perikatan Nasional, Umno dan GPS selain empat lagi ahli bebas.

Ismail adalah antara ahli Kabinet sebelum ini yang menolak untuk menyertai Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Dalam upacara angkat sumpah hari ini, Ismail ditemani isterinya, Muhaini Zainal Abidin.

Beliau menandatangani sumpah jawatan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut hadir bersama termasuk Zahid, Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg.