- Iklan -
Berita

Tak perlu ubah takwim sekolah, PdPR kaedah terbaik semasa pandemik, kata pakar

Sukar untuk ubah takwim sekolah meskipun situasi Covid-19 masih belum reda.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pelajar menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sistem pendidikan negara menyaksikan perubahan besar setelah setahun pandemik Covid-19 melanda negara tahun lepas apabila penutupan sekolah memaksa guru, murid, dan ibu bapa mengadaptasi kepada persekitaran baru menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Namun bukan sahaja kaedah PdPR yang berubah, bahkan kalendar atau takwim juga terkesan dengan penutupan sekolah yang dilaksanakan beberapa kali berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga mengganggu takwim kebiasaannya.

Bekas ketua pengarah pelajaran, Alimuddin Mohd Dom berkata, penetapan sesi persekolahan bergantung kepada dua perkara besar.

“Pertamanya, peperiksaan. Dahulu, semua jenis peperiksaan dibuat hujung tahun semasa cuti persekolahan. Ini kerana pihak sekolah memerlukan tempat mengadakan peperiksaan. Maknanya bila pelajar bercuti, ada ruang untuk peperiksaan berjalan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Alimuddin, faktor kedua, ialah cuaca setempat dan Malaysia kebiasaannya dilanda monsun, hujan lebat dan banjir pada hujung tahun, yang merasionalkan cuti persekolahan pada hujung tahun.

Namun katanya, ia juga mula berubah sejak tahun-tahun kebelakangan ini apabila banjir kerap berlaku secara tidak menentu.

“Perubahan ini agak besar kerana kita ikut sistem lama sejak sebelum merdeka lagi. Sudah tentu banyak perkara perlu difikirkan terutama soal peperiksaan.

“Pandangan daripada Majlis Peperiksaan Malaysia, NGO, orang ramai, malah daripada guru-guru sendiri perlu diperoleh sebelum menentukan kelebihan atau kekurangan perubahan takwim ini,” tambahnya.

Umumnya, setiap tahun takwim sekolah akan bermula pada Januari dan akan tamat pada November.

Selain itu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang kebiasaannya berjalan pada hujung tahun dijalankan secara berperingkat. Ujian lisan berlangsung pada tahun sama, namun ujian bertulis berlangsung pada Februari dan Mac tahun ini.

Contoh lain ialah pembukaan sekolah yang dijadualkan secara berperingkat pada 1 September ini mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguhkan berikutan situasi Covid-19 yang masih belum reda.

Keadaan itu memaksa rakyat dan kerajaan Malaysia untuk kembali memikirkan strategi dan adaptasi yang sesuai berhubung takwim sekolah tahunan.

Ini kerana, sekiranya situasi Covid pada tahun depan memaksa sekolah dibuka lewat dari Januari seperti kebiasaan, ia juga akan berakhir dengan lebih lewat, dan berkemungkinan terlajak sehingga ke tahun depan.

Murid yang memulakan darjah 1 pada bulan Mac 2022 contohnya mungkin hanya akan menamatkan darjah itu pada tahun 2023.

Mungkin negara terpaksa mengikuti takwim seperti negara Eropah yang tidak bermula pada Januari.

Menurut data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), sehingga Mac tahun ini, 168 juta kanak-kanak di seluruh dunia terkesan apabila sekolah mereka ditutup hampir setahun gara-gara perintah berkurung.

214 juta kanak-kanak terlepas tiga perempat sesi pembelajaran secara bersemuka.

Sementara bagi pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia Azlin Norhaini Mansor, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengubah takwim sekolah.

“Terlalu banyak perubahan atau ketidaktentuan yang berlaku di luar kawalan seperti pergolakan politik, ketidakstabilan ekonomi dan pandemik yang memaksa rakyat mengubahsuai kehidupan mereka.

“Maka sebaiknya kita minimakan sebarang perubahan lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau menyarankan supaya takwim sekolah dikekalkan seperti sedia ada, dan menggesa murid, guru dan ibu bapa untuk bersedia dengan hakikat bahawa kaedah pembelajaran terbaik dan paling selamat buat masa ini ialah PdPR.

Ujarnya, mereka perlu teruskan dan bertahan dengan PdPR sehingga pandemik Covid-19 dapat ditangani.

“KPM perlu utamakan Tingkatan 5 dan 6 sebaik sahaja keadaan sesuai untuk pembelajaran bersemuka.  Dan anjakkan tarikh SPM seperti tahun 2020, sekiranya perlu, tetapi waijb ditambahbaik  pelaksanaannya dengan mengambil kira kelemahan dahulu.

“Pada masa sama, semua pihak perlu cakna tentang ‘lost generation’ yang berada di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang mana guru, masyarakat dan majikan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk membantu mereka, mungkin dengan memberikan kelas tambahan, latihan dan bimbingan.”

Katanya, apa yang boleh dibuat pada masa akan datang ialah pengenalan sistem semester di peringkat sekolah yang mana setiap semester berlangsung selama lima bulan dengan cuti sekolah ditetapkan antara semester.

“Perancangan untuk berubah kepada system semester perlu dibuat dengan teliti dan terperinci.

“Mungkin aspek kandungan, jenis dan kandungan subjek yang ditawarkan boleh  disusun semula mengikut kesesuaian dan kesediaan murid.”

Azlin yang juga pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan UKM itu menambah, menerusi sistem semester aspek penilaian murid boleh dibuat setiap akhir semester dan bukan pada penghujung takwim sekolah seperti kebiasaan.

“Ia penting bagi membolehkan intervensi yang berkesan dijalankan. Manakala peperiksaan SPM boleh diambil secara berperingkat yang mana sebahagian subjek diambil semasa di Tingkatan 4, dan sebahagian lagi di Tingkatan 5.

“Sistem semester dijangka lebih anjal dan mudah dibuat intervensi apabila berlaku musibah yang berpanjangan seperti pandemik, banjir, dan jerebu, yang memerlukan sekolah ditutup pada jangka masa yang lama,” katanya.