- Iklan -
Berita

Pembantu Muhyiddin dedah ‘debat kecil sewaktu sarapan’ sehari sebelum peletakan jawatan

Marzuki berkata Muhyiddin bimbang kemelut politik negara berterusan jika beliau tidak mendapat sokongan sebagai calon perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Pembantu utama Muhyiddin Yassin mendedahkan sebuah babak ketika perbualan sewaktu sarapan bersama perdana menteri sehari sebelum peletakan jawatannya yang menyaksikan tumbangnya kerajaan yang menerajui negara selama 18 bulan ketika pandemik melanda negara.

Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri berkata beliau pada awalnya terkejut ketika dimaklumkan oleh Muhyiddin bersedia untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob bagi menduduki jawatan perdana menteri.

“Macam mana lelaki ini boleh dicalonkan sebagai PM daripada parti yang jatuhkan dia dari jawatan yang diinginkan ramai itu?” tulis Marzuki sambil menambah “debat kecil” berlaku antara beliau dengan Muhyiddin mengenai perkara tersebut.

“Namun nampaknya dia sudah nekad untuk lakukan apa yang dia yakin betul.”

Beliau berkata Muhyiddin bimbang jika dia tidak mendapat sokongan sebagai calon perdana menteri, kemelut politik akan berterusan.

“Hanya satu soalan yang beliau tanya pada saya, apakah keputusan itu selari Perlembagaan.

“Saya beritahu dia, ‘ya tuan. Ia selari dengan Perlembagaan’.

“Kemudian dia beritahu pada saya, ‘Hubungi Ismail minta jumpa saya pada pukul 11 pagi’.”

Marzuki berkata beliau kagum dengan pendirian berjiwa besar yang ditunjukkan Muhyiddin sambil menambah beliau mahu mendedahkan perincian perbualan mereka dalam sebuah memoir peribadi.

Ismail adalah antara pemimpin Umno dan ahli Kabinet yang menolak untuk bersama dua pemimpin Umno Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang berkempen untuk menumbangkan Muhyiddin dengan menarik sokongan terhadap beliau.

Najib dan Zahid adalah sebahagian daripada kumpulan yang di gelar kluster mahkamah dianggotai pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam pentadiran kerajaan Barisan Nasional sebelum jatuh pada 2018.

Semalam, Muhyiddin yang merupakan pengerusi Perikatan Nasional, mengesahkan Ismail memiliki sokongan 50 ahli Parlimen daripada gabungan itu selagi naib presiden Umno itu komited untuk melantik pentadbiran kerajaan yang bersih dan mengangkat kebebasan badan kehakiman dalam negara.

Muhyiddin beberapa kali berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas sekumpulan “kleptokrat” berkomplot menenatang beliau bagi melepaskan diri daripada perbicaraan.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan butiran bagaimana Zahid mendekati Muhyiddin dalam usahanya untuk menggugurkan pertuduhan terhadap beliau.