- Iklan -
Berita

Ismail Sabri sah dilantik sebagai perdana menteri ke-9

Menurut Yang di-Pertuan Agong pelantikan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Ismail Sabri hari ini diumumkan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia. Gambar: Bernama
Naib Presiden Umno Ismail Sabri hari ini diumumkan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia. Gambar: Bernama

Istana Negara hari ini mengumumkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas Yang di-Pertuan Agong mengesahkan beliau memiliki majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Istana Negara berkata Ismail akan mengangkat sumpah jawatan itu pada pukul 2.30 tengah hari esok.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan perdana menteri baru ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” kata istana dalam sebuah kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Pengesahan Agong hari ini menghentikan spekulasi hangat sejak semalam yang mengatakan Agong boleh menitahkan “kerajaan perpaduan” namun kesemua cadangan tersebut tidak selari dengan peruntukan Perlembagaan dalam isu pelantikan perdana menteri.

Kenyataan istana hari ini dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas selama dua jam sejak tengah hari tadi dengan dipengerusikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberikan taklimat berkenaan proses melantik perdana menteri.

Kenyataan itu berkata istana telah menerima surat akuan bersumpah (SD) daripada 220 ahli Parlimen berhubung calon perdana menteri pilihan mereka.

Menurutnya, 114 daripada surat akuan bersumpah yang diterima menunjukkan sokongan kepada Ismail.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan angka undian yang diterima Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, calon pencabar terdekat Ismail.

“Pencalonan bakal perdana menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Pelantikan Ismail sebagai perdana menteri hari ini adalah susulan kemelut politik yang berlarutan beberapa bulan akibat amaran-amaran dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang berkempen supaya ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun, Ismail dan lebih 20 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional enggan menuruti gesaan pemimpin Umno yang mahu mereka meletakkan jawatan daripada pentadbiran kerajaan.

Kempen mereka bagaimanapun mendapat momentum selepas lebih sepuluh ahli Parlimen Umno yang bersekutu dngan Najib menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Sehubungan itu, Muhyiddin dengan perkenan Agong telah mengumumkan akan membentang usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk menguji sokongan yang beliau miliki.

Langkah tersebut tidak memuaskan hati Zahid dan Najib yang bersama-sama Pengerusi PH Anwar terus menggasak supaya beliau meletakkan jawatan serta-merta sebelum undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam usaha terakhirnya bagi mengelak kerajaan PN tumbang ketika negara berdepan Covid-19, Muhyiddin mengumumkan cadangan persefahaman baru rentas parti politik yang menjemput pembangkang untuk bersama pentadbiran beliau.

Muhyiddin turut berikrar akan melaksanakan pembaharuan penting berhubung sistem pentadbiran negara.

Namun cadangan beliau tersebut ditolak serta-merta. Beberapa hari kemudian, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan beliau.