- Iklan -
Berita

Tanah runtuh Gunung Jerai, 3 disahkan maut

Tiga lagi masih hilang, operasi diteruskan hari ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta yang rosak akibat banjir selepas tanah runtuh di Gunung Jerai.
Sebuah kereta yang rosak akibat banjir selepas tanah runtuh di Gunung Jerai.

Tiga mangsa disahkan maut dalam satu kejadian tanah runtuh dan kepala air berhampiran Gunung Jerai, Kedah semalam, manakala tiga lagi masih hilang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklum operasi mencari 3 orang yang dilaporkan masih hilang dihentikan pukul 1:05 pagi dan akan disambung pukul 7:00 pagi hari ini.

Salah seorangnya disahkan maut ketika dijumpai pasukan penyelamat pukul 11.10 malam tadi.

Pasukan Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 4.36 petang semalam dan tiba kira-kira setengah jam kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pasukan penyelamat mendapati terdapat tiga buah kereta dan dua motosikal di kawasan kejadian.

“Terdapat lima mangsa, tiga daripadanya selamat, satu mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan sesak nafas manakala satu masih belum dijumpai.

“Pada jam 11.10 malam komander operasi melaporkan mangsa telah dijumpai dan telah disahkan meninggal dunia. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang mengalami banjir berikutan hujan lebat.

Terdahulu, Sanusi dipetik menafikan banjir berlaku disebabkan pembalakan.

“Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

“Sebaliknya kejadian itu berlaku akibat fenomena kepala air yang turut membawa kayu-kayu balak berikutan arus terlalu deras,” katanya dalam satu kenyataan semalam.