- Iklan -
Berita

Taliban jamin tidak akan berdendam dengan penentang

Jurucakap Taliban berkata semua yang menentang mereka sebelum ini akan diampuni dari 'A hingga Z'.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Afghanistan kini dikuasai semula oleh Taliban selepas dua dekad ia digulingkan Amerika Syarikat. Gambar: AP
Afghanistan kini dikuasai semula oleh Taliban selepas dua dekad ia digulingkan Amerika Syarikat. Gambar: AP

Taliban berikrar dan menjamin mereka tidak akan “membalas dendam” kepada musuh selepas menguasai kembali Afghanistan.

Pengumuman tersebut selepas pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani kembali ke Afghanistan selepas 20 tahun diusir selepas Amerika Syarikat masuk ke negara itu.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata rejim Taliban kali ini adalah berbeza daripada rejim pada 1996-2001, yang terkenal melaksanakan hukuman rejam dan melarang percampuran wanita dan lelaki di tempat kerja.

“Jika persoalan tentang ideologi, kepercayaan memang tidak berbeza.. namun berdasarkan pengalaman, kematangan dan pandangan, memang banyak berbeza.

“Semua yang menentang kami akan diampuni dari ‘A hingga Z’. Kami tidak akan balas dendam,” kata Zabihullah kepada pemberita.

Zabihullah berkata, sebuah kerajaan akan segera dibentuk tetapi tidak memberikan butiran lanjut, sebaliknya berkata sedia berunding dengan semua pihak.

Katanya, mereka komited untuk membenarkan wanita bekerja, sesuai dengan prinsip Islam tanpa memberikan butiran lanjut.

Jurucakap kumpulan itu di Doha, Suhail Shaheen, memberitahu Sky News Britain wanita tidak akan disyaratkan memakai burqa yang menutup seluruh wajah, namun tidak menjelaskan pakaian apa yang akan dibenarkan.

Sementara itu, di Kabul, Taliban mengarahkan kakitangan kerajaan untuk kembali bekerja.

Bagaimanapun penduduk kelihatan amat berhati-hati manakala hanya segelintir wanita dilihat berada di jalanan.

Terdahulu, puluhan ribu penduduk Afghanistan dilaporkan berusaha keluar dari negara itu untuk menyelamatkan diri daripada pemerintahan kumpulan itu.

Mereka bimbang dikenakan hukuman kerana sebelum ini berpihak kepada kerajaan yang mendapat sokongan negara Barat sejak dua dekad lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Luar AS Ned Price berkata, pihaknya meminta Taliban berpegang kepada janji tersebut serta menghormati hak warga Afghanistan.