Friday, September 24, 2021

Kumpulan majikan ucap terima kasih kepada Muhyiddin, Miti atas dasar pro-perniagaan

MEF berkata kerajaan sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan mengenai keperluan sektor perniagaan.

Other News

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin dan Kabinet pentadbirannya yang mengamalkan dasar yang mesra industri, mengatakan bahawa hubungan berterusan kerajaan dengan semua pihak berkepentingan sentiasa dijalankan bagi mengenal pasti keperluan sektor perniagaan.

MEF berkata kementerian perdagangan antarabangsa dan industri antarabangsa (Miti) telah memainkan peranan penting dalam menguruskan SOP Covid-19 serta inisiatif imunisasi industri antara kerajaan dan swasta atau Pikas bagi mendorong vaksinasi di sektor swasta.

Ia juga menyuarakan penghargaan kepada kementerian sumber manusia dan agensinya termasuk Perkeso.

“MEF mempunyai akses ke banyak platform peringkat tinggi seperti Majlis TVET Nasional, Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis Pemulihan Ekonomi, dan kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini atas semua perkara yang dilakukan untuk para majikan dan negara,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan.

“Penglibatan ini disokong dengan perunukan bantuan kewangan kepada majikan dan rakyat dengan pelaksanaan inisiatif strategik seperti Prihatin, Penjana, Pemerkasa, Laksana dan Pemulih yang mendukung kelangsungan perniagaan, menggalakkan pekerjaan dan taraf kehidupan.”

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional kerana membenarkan syarikat yang diklasifikasikan sebagai tidak penting di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka semula minggu ini.

“Ia telah memberi banyak kelegaan kepada PKS dan perusahaan mikro yang diklasifikasikan sebagai tidak penting di bawah Fasa Satu PPN, dan MEF berterima kasih untuk ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles