- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen BN sahkan Ismail Sabri calon PM

Keputusan itu dicapai secara kosensus dalam mesyuarat ahli Parlimen Barisan Nasional semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengesahkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi pilihan sebagai calon perdana menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said berkata keputusan itu dicapai secara kosensus dalam mesyuarat ahli Parlimen BN semalam.

“Ya, Ismail Sabri. Kami sudah periksa jumlah sokongan, termasuk dengan sokongan daripada Bersatu dan PAS,” kata Tajuddin ketika menjawab soalan wartawan sama ada jumlah sokongan yang diterima Ismail Sabri melebihi angka 111.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat khas bersama ahli Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia malam ini beliau berkata Umno serta BN, bersatu dan bersetuju mencalonkan Ismail Sabri yang disifatkan “mesra” kepada semua parti.

Azalina pula berkata Ismail Sabri yang juga ketua whip BN dipilih sebagai calon perdana menteri kerana dilihat paling ‘agreeable’ untuk semua ahli Parlimen.

“Secara teknikalnya dia berada di kedudukan tertinggi selepas presiden (Ahmad Zahid Hamidi), dan dia juga sebelum ini adalah timbalan perdana menteri.

“Dengan kedudukan ini dia nampak paling dipersetujui (agreeable) bagi kami semua, jadi kami harapkan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno menghadiri mesyuarat khas bagi membincangkan calon perdana menteri, untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, esok.

Mesyuarat khas yang bermula pada pukul 8 malam itu, disusuli dengan mesyuarat bersama ahli Parlimen BN.