- Iklan -
Berita

Saya sudah usahakan terbaik untuk guru, murid, kata Radzi

Radzi Jidin titipkan ucapan selamat tinggal kepada warga KPM selepas letak jawatan semalam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Radzi Jidin keluar dari pejabatnya di kementerian pendidikan. Gambar: Facebook
Radzi Jidin keluar dari pejabatnya di kementerian pendidikan. Gambar: Facebook

Meskipun tidak lama memegang portfolio sebagai menteri pendidikan, Radzi Jidin berkata dia sudah mengusahakan yang terbaik untuk para guru sepanjang tempoh perkhidmatannya di kementerian pendidikan (KPM) sehingga semalam.

Katanya, menguruskan KPM dalam era pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang mudah, namun beberapa perubahan berjaya dilaksanakan.

“Banyak perkara tunjang di kementerian yang berlarutan bertahun-tahun lamanya dapat diselesaikan. Sebahagiannya sedang diselesaikan.

“Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, Insya Allah sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, Allah akan membuka jalan untuk kita,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam.

Beliau dan seluruh jemaah menteri Kabinet meletakkan jawatan semalam susulan peletakan jawatan perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam hantaran itu, Radzi turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha KPM Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Nor Zamani selain para guru yang bertungkus-lumus mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik. Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat.

“Tidak kira sama ada secara bersemuka atau PdPR. Apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan,” katanya.

Selain menyelesaikan isu yang lama berlarutan, Radzi berkata banyak penambahbaikan berlaku dan sedang dilaksanakan.

“Sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.”

Isu berlarutan yang dihadapi KPM ialah masalah guru yang berpisah jauh dengan pasangan selama bertahun-tahun.

Radzi terlebih dahulu memaklumkan, KPM akan membentangkan garis panduan baru bagi permohonan pertukaran guru yang membolehkan pertukaran dilakukan sepanjang tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata tanggungjawab megemudi kementerian itu dipikul seikhlas hati untuk melihat kualiti pendidikan dilonjak ke peringkat lebih tinggi.

“Akhir kalam, saya menginsafi bahawa saya cuma dipinjamkan oleh Allah untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana menteri pendidikan sebelum ini,” katanya.

Beliau merupakan timbalan menteri hal-ehwal ekonomi semasa pentadbiran Pakatan Harapan, dan dilantik menjadi menteri pendidikan selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional pada Mac tahun lalu.

Pentadbiran Radzi di KPM buat pertama kali menyaksikan sekolah ditutup di seluruh negara dan PdPR berjalan serentak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, cabaran mengemudikan peperiksaan semasa pandemik juga pertama kali dihadapi oleh menteri pendidikan.