- Iklan -
Berita

Pemuda PN yakin gabungan itu akan bangkit lebih kuat

Khairil Nizam berkata wujud hikmah di sebalik keputusan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan perdana menteri yang disandang beliau.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Jerantut Khairil Nizam Khirudin. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Jerantut Khairil Nizam Khirudin. Gambar: Facebook

Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ni menyatakan keyakinan mereka gabungan itu akan bangkit lebih kuat dan wujud hikmah di sebalik keputusan Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri yang disandang beliau.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pemuda PN Khairil Nizam Khirudin berkata tindakan itu bukan bermakna mereka sudah kalah dalam perjuangan politik tanah air.

“PN akan bangkit dengan lebih kuat dan bersemangat untuk terus menabur bakti pada bangsa dan negara tercinta,” katanya.

Khairul turut berterima kasih atas sumbangan dan jasa bakti Muhyiddin yang menurut beliau telah mengecap pelbagai kejayaan sepanjang pentadbirannya.

Antara lain termasuk peningkatan sektor ekonomi yang telah berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua 2021.

“Trend pemulihan yang berterusan ini adalah bukti jelas bahawa dasar-dasar kerajaan telah membuahkan hasil.”

“Perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan seperti Prihatin, Pemerkasa, Pemerkasa Plus, Permai, Pemulih dan bantuan-bantuan lain,” tambahnya.

Dalam pada itu Khairil turut berkata kerajaan juga berjaya dalam usaha vaksinasi rakyat Malaysia, yang kini turut diakui dunia sebagai antara yang terpantas menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, sasaran 50% populasi dewasa negara mendapat vaksin lengkap pada akhir Ogos bakal dicapai selain sasaran imuniti kelompok pada Oktober 2021.

Semalam, Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan selaku perdana menteri Malaysia ke-8 selepas Yang di-Pertuan Agong menerima warkah peletakan jawatan beliau.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan PN kehilangan majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat selain cadangan persefahaman rentas parti politik beliau ditolak pembangkang.

Istana Negara hari ini menyaksikan pemimpin-pemimpin parti politik mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mengemukakan nama calon perdana menteri.

Selepas proses mengenal pasti sokongan ahli Dewan Rakyat, Sultan Abdullah bakal melantik seorang perdana menteri baru yang pada hemat beliau mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.