- Iklan -
Berita

Pemimpin GPS ucap terima kasih kepada Muhyiddin kerana ingat kepentingan Sarawak

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Muhyiddin telah melakukan yang terbaik.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ditemani Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dalam sebuah majlis di Kuching ketika lawatan rasmi perdana menteri ke Sarawak awal tahun ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ditemani Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dalam sebuah majlis di Kuching ketika lawatan rasmi perdana menteri ke Sarawak awal tahun ini. Gambar: Bernama

Pemimpin Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin di atas khidmat beliau sebagai perdana menteri, mengatakan bekas perdana menteri itu telah mengambil berat akan kepentingan negeri itu selama 17 bulan beliau di Putrajaya.

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Muhyiddin telah melaksanakan tanggungjawab yang terbaik dalam usaha menangani wabak Covid-19 walaupun menghadapi kemelut politik sehingga menyebabkan beliau meletakkan jawatan semalam.

“Saya boleh katakan prestasi Muhyiddin sangat bagus,” katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah prestasi beliau mungkin akan menjadi lebih baik “sekiranya beliau tidak dipukul kiri dan kanan oleh lawannya”.

“Beliau boleh dikatakan telah laksanakan tugas dengan bagus walau bertubi serangan dihadapi, dan beliau berusaha sedaya upaya untuk membantu semua rakyat Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak dalam jangka masa pendek mentadbir sebagai perdana menteri,” tambah Karim.

“Rakyat Malaysia suatu hari nanti akan mengingati jasanya setelah semua jadi tenang.”

Muhyiddin menyerahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong semalam, mengatakan beliau sudah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen setelah penarikan sokongan oleh sekumpulan ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pentadbiran Muhyiddin juga bertanggungjawab dalam mengembalikan hak penjualan minyak dan gas serta pembayaran hasil cukai kerajaan pusat dan Petronas kepada Sarawak setelah hampir enam dekad.

Ketua Whip Parlimen GPS, Fadillah Yusof, yang merupakan menteri kerja raya dalam Kabinet Muhyiddin menyuarakan harapan agar bahagian projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak tidak akan terjejas oleh perubahan pemerintahan.

“Siapa pun yang dilantik sebagai menteri kerja raya selepas ini harus terus melaksanakan projek infrastruktur yang telah diluluskan, sama seperti pemerintah PN meneruskan projek yang disetujui oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebelumnya,” katanya dalam pesan perpisahannya setelah mengundurkan diri dari Kedudukan kabinet.

“Rakyat tidak seharusnya menjadi korban akibat krisis politik dan perubahan pemerintahan yang berpanjangan. Apa pun projek yang telah dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka harus diteruskan.”

Pemimpin GPS lain yang turut berada dalam Kabinet Muhyiddin, termasuk Alexander Nanta Linggi (hal ehwal perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan) dan Nancy Shukri (pelancongan, seni dan kebudayaan) juga berterima kasih kepada beliau kerana mempercayai mereka unruk turut memegang jawatan Kabinet.

“GPS menghormati keputusan Muhyiddin untuk mengundurkan diri,” kata mereka.

“Kami akan terus menegakkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.”