- Iklan -
Berita

Pejuang sedia bekerjasama dengan PN untuk bentuk kerajaan tanpa ‘kluster mahkamah’ Umno

Pejuang berkata ia satu situasi yang tidak dapat dielak kalau mereka berusaha untuk mencukupkan angka sokongan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama
Ahli parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama

Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad sedia bekerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan sekiranya tidak melibatkan pemimpin-pemimpin kluster mahkamah Umno yang kini berpayung di bawah Ahmad Zahid Hamidi, kata Mukhriz Mahathir.

“Ya kami bersedia bekerjasama dengan mereka,” kata ahli Parlimen Jerlun itu dalam wawancara eksklusif bersama saluran Astro Awani ketika ditanya kemungkinan bekerjasama dengan parti-parti dalam PN seperti Bersatu, PAS GPS dan lain-lain lagi.

“Saya ingat itu bukannya dapat kita elak kalau kita berusaha mencukupkan angka itu.”

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan dengan pendakwaan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pejuang merupakan serpihan kepada Bersatu yang ditubuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Pendaftaran parti yang mempunyai empat orang ahli Parlimen itu diluluskan baru-baru ini.

Semalam, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas Zahid, Najib Razak dan 13 lagi ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Umno mempunyai 38 kerusi Parlimen.

Kumpulan yang bersama Zahid digelar “Umno 15”.

Manakala selebihnya berpayung di bawah Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang setia bersama PN.

Zahid, Najib dan Presiden PKR Anwar Ibrahim memulakan kempen untuk menjatuhkan Muhyiddin sejak tahun lalu.

Mukhriz berkata, antara syarat Pejuang untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan ialah ia mestilah tidak melanggar prinsip perjuangan parti itu.

“Kami daripada awal lagi kekal berprinsip dalam soal memerangi rasuah.

“Oleh kerana itu kami akan bermasalah sekiranya majoriti yang kami sokong itu mengandungi apa yang kami kenali sebagai kluster mahkamah,” katanya.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan timbalannya, Sultan Nazrin Shah bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik sebagai proses untuk memilih perdana menteri baru.

Esok, setiap ahli Parlimen perlu mengemukakan nama seorang calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang.