- Iklan -
Berita

Kembali jadi PM? Kita tunggu, kata Muhyiddin

Muhyiddin peringatkan ketidakstabilan politik mungkin berterusan jika angka sokongan kepada calon perdana menteri tidak berubah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin melambai tangan kepada petugas media ketika beliau tiba di pintu masuk Istana Negara.
Muhyiddin Yassin melambai tangan kepada petugas media ketika beliau tiba di pintu masuk Istana Negara.

Perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin dilihat tidak menolak kemungkinan kembali memegang jawatan tertinggi dalam negara itu ketika Yang di-Pertuan Agong hari ini akan memulakan langkah mengenal pasti sokongan terhadap beberapa calon untuk mengisi kekosongan jawatan perdana menteri.

“Kita tunggu,” katanya ketika ditanya sama ada wujud kemungkinan beliau kembali memegang jawatan perdana menteri pada sesi soal jawab selepas perutusan peletakan jawatan beliau semalam.

“Sepatutnya tidak berlaku macam ni kan. Saya percaya, sebelum saya berhenti, sayalah perdana menteri waktu itu yang mempunyai majoriti terbesar. I think you can confirm on that issue,” katanya pada satu sidang media bersama beberapa pengarang media arus perdana di Putrajaya semalam sebaik sahaja meletakkan jawatan dan dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Jika Muhyiddin kembali memegang jawatan tertinggi dalam negara, ia akan menjadi detik bersejarah kerana bakal mencatat kali ketiga Muhyiddin kembali memegang jawatan tertinggi negara selepas jatuh akibat kemelut kuasa.

Pada 2015, beliau dipecat daripada Kabinet oleh perdana menteri Najib Razak kerana mempersoalkan penglibatan ahli Parlimen Pekan itu dalam skandal 1MDB.

Selepas keluar dari Umno, beliau menubuhkan Bersatu dan berjuang bersama parti-parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2018 dan kembali menjadi menteri kanan dalam Kabinet diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Semalam, beliau mengumumkan peletakan jawatan, mengatakan pentadbiran kerajaannya yang menumpukan usaha melawan pandemik diganggu kumpulan kleptokrat yang merujuk kepada Najib dan ahli-ahli Parlimen yang bersekutu dengannya.

Muhyiddin juga berkata jelas tiada individu lain yang memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Pernah juga satu ketika ada seorang ahli Parlimen, katanya dia ada convincing and formidable, tapi tak dengar pun, not even convincing, not even formidable.

“Kerana saya tahu, kita orang politik, kita ada maklumat yang tidak ada satu pihak pun yang mempunyai jumlah majoriti lebih besar dari saya,” katanya.

Muhyiddin berkata kini terserah kepada Agong untuk memutuskan siapakah calon yang pada hematnya memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen selari dengan peruntukan Perlembagaan.

“Dalam perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mencari seorang perdana menteri yang baru mengikut cara yang difikirkan sesuai. Macam yang lepas, saya terpilih menerusi SD, dipanggil dua kali, dan apakah Agung akan buat begitu? Itu luar batas kuasa saya,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang mengetuai gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah antara pemimpin parti yang dipanggil mengadap di Istana Negara hari ini bagi menyerahkan nama calon daripada setiap parti.

“Apakah saya akan menawarkan diri saya sebagai calon? Itu saya tak tau lagilah.”

Bagaimanapun beliau memberikan peringatan ketidakstabilan akan terus berlaku jika angka sokongan masih tidak berubah.

“Malahan kalau ada pilihan lain pun, mungkin dia ada dua atau tiga majoriti saja.”

Seseorang perdana menteri yang dilantik Agong adalah tertakluk kepada usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, termasuk Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tahun ini.