- Iklan -
Berita

Saya dah buat yang terbaik untuk rakyat, kata Muhyiddin

Muhyiddin berkata sebagai manusia biasa beliau menjunjung prinsip Perlembagaa dan cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan beliau sudah memberikan khidmat yang terbaik berpandukan kepada Perlembagaan dan agama.

Dalam ucapan perpisahan kepada pegawai-pegawai di Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin berkata sebagai manusia biasa beliau menjunjung prinsip tersebut dan cuba sedaya upaya membantu rakyat.

“Saya kira saya buat apa yang saya fikir diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat,” katanya.

“Itu adalah aspek penting dalam kehidupan dan mungkin Allah mengangkat saya di darjat ini untuk menunjukkan tujuan itu agaknya.”

Hari ini Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Agong kemudiannya melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri “caretaker” sementara menunggu kerajaan baru dilantik.

Dalam ucapannya hari ini, Muhyiddin turut berbangga, walaupun menguruskan negara di saat sukar, pentadbiran kerajaan masih mampu diteruskan.

Katanya, lebih-lebih lagi di saat seluruh negara dilanda wabak Covid-19.

“Kita meneliti bagaimana untuk membantu rakyat dan kesan Covid-19 ini cukup mendalam, sebab itu saya sanggup bercakap, memperkata apa yang benar walaupun pahit.

“Kita buat apa yang Allah cakap betul. Jangan buat apa yang Allah cakap tidak betul. Lawan kejahatan, itu pokoknya, kalau kita berpegang kepada hukum sebegini, insyallah hidup kita selamat.”

Katanya, jawatan yang dipikul merupakan amanah, dan disebabkan itu beliau sedaya upaya melakukan apa yang sepatutnya untuk rakyat.

Tambahnya, segala perkara yang dilakukannya berpandukan prinsip agama dan ketentuan Ilahi.