- Iklan -
Berita

6 kluster baru Covid-19 dikesan di Sarawak

Setakat 15 Ogos, Sarawak merekodkan 103 kluster aktif.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang bertugas di kaunter pendaftaran vaksinasi di PPV Klinik Kesihatan di Dewan Majma' Kuching. Gambar: Bernama
Sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang bertugas di kaunter pendaftaran vaksinasi di PPV Klinik Kesihatan di Dewan Majma' Kuching. Gambar: Bernama

Enam kluster baru Covid-19 dikesan di Kuching, Sarawak dengan tiga daripadanya melibatkan kluster komuniti dan tiga lagi kluster tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini kepada 103.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan tiga kluster komuniti berkenaan adalah kluster Kampung Tupong, kluster Jalan Foochow dan kluster Skim Penempatan Stapok 2.

“Kluster Kampung Tupong melibatkan beberapa keluarga di Kampung Tupong, Petra Jaya, dengan 29 individu didapati positif Covid-19, sementara kluster Jalan Foochow melibatkan penghuni kawasan perumahan di Jalan Foochow dengan 39 individu didapati positif,” menurut JPBN.

Kluster Skim Penempatan Stapok 2 pula melibatkan beberapa keluarga di Skim Penempatan Stapok, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, dengan 22 individu didapati positif Covid-19.

Bagi kluster tempat kerja pula, ia melibatkan kluster Besi Dua dengan 18 pekerja sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Demak Laut, Petra Jaya, didapati positif Covid-19.

Kluster Jalan Datuk Abang Abdul Rahim melibatkan pekerja premis sebuah syarikat pengangkutan dengan 20 individu didapati positif, manakala tujuh individu didapati positif bagi Kluster Jalan Rubber Dua melibatkan peniaga di sebuah kedai kopi.

Semalam, Sarawak mencatatkan 963 kes baru Covid-19 dengan empat kematian.