Friday, September 24, 2021

5 lagi kes Covid-19 dikesan berkaitan sidang khas Parlimen

Kes baru itu melibatkan lima sekeluarga dengan kes pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.

Other News

Lima lagi kes Covid-19 dikesan berkaitan sidang khas Parlimen dari 26 hingga 29 Julai lepas, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 102 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baru itu dimaklumkan pada 13 Ogos melibatkan lima sekeluarga dengan kes pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.

“Tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau ‘CT value’ RT PCR di antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan yang tinggi) manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin dan hanya bergejala ringan serta menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya penambahan lima kes itu menjadikan 30 kes jangkitan semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Daripada 30 kes ini, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, sembilan kes terdiri daripada pengiring, sembilan kes pegawai agensi kerajaan, tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga, dua kes kontraktor dan satu kes daripada kakitangan Parlimen,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan 56 kes pula dikenal pasti hasil saringan pra-Dewan Rakyat, lapan kes kontak rapat dan lapan kes saringan pra-Dewan Negara.

Beliau berkata kementerian kesihatan bersama dengan pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara telah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.

Katanya kesiapsiagaan itu meliputi tindakan memastikan individu yang hadir ke Parlimen sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa tersebut dan keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji serta ditambah baik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan wabak berkenaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles