- Iklan -
Berita

PM akan serah surat letak jawatan kepada Agong pada Isnin, kata menteri

Redzuan berkata Muhyiddin telah memaklumkan perkara tersebut dalam sebuah mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen Bersatu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bakal menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Peletakan jawatan itu mungkin menyebabkan Malaysia berdepan satu lagi pergelutan politik baru jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara selama 17 bulan jatuh.

Muhyiddin berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan selepas kehilangan majoriti di Parlimen susulan dakwaan pentadbirannya telah menyebabkan pandemik Covid-19 semakin buruk dalam negara.

Beliau turut bertindak menjemput pembangkang untuk mengadakan persefahaman rentas parti Jumaat lalu bagi mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen dengan beberapa cadangan pembaharuan terhadap institusi kerajaan.

Bagaimanapun, jemputan tersebut ditolak parti-parti pembangkang.

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri Mohamad Redzuan Yusof berkata kepada AFP Muhyiddin telah memaklumkan mengenai surat perletakan jawatan itu kepada ahli-ahli Parlimen dari Bersatu ketika mesyuarat di Kuala Lumpur.

“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” kata Redzuan.

“Kami cuba pujuk untuk beliau kekal pegang jawatan, namun beliau berkata: ‘Kita sudah tidak ada angka sokongan ahli-ahli Parlimen.'”

Muhyiddin turut berkata kini terpulang kepada Agong untuk menerima surat peletakan jawatan beliau atau tidak, kata Redzuan lagi.

Terdapat spekulasi sama ada beliau perlu meletakkan jawatan atau tidak, selain kerajaan baru akan dibentuk tanpa pilihan raya ekoran pandemik yang melanda negara ketika ini.

Namun, tanpa pengganti yang jelas, nampaknya beberapa hari ke depan ini bakal menyaksikan politik Malaysia sekali berdepan siri rundingan parti-parti politik bagi menubuhkan kerajaan yang dapat berfungsi.

Selain itu, terpulang kepada institusi raja untuk melantik perdana menteri baru yang mempunyai sokongan di Parlimen.

Muhyiddin mengetuai kerajaan PN pada Mac tahun lalu tanpa pilihan raya selepas gabungan politik Pakatan Harapan diketuai Dr Mahathir Mohamad jatuh.

Keabsahan kerajaan PN juga sering dipersoalkan dan sering dicabar oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Tekanan terhadap kerajaan PN bertambah selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin turut berikrar untuk mengadakan usul undi percaya pada September depan dalam kenyataan beliau baru-baru ini selepas mendapat perkenan Agong.