- Iklan -
Berita

Langkawi akan jadi sebahagian projek perintis gelembung pelancongan, kata PM

Kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi merancakkan semula industri pelancongan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana kedai di Pantai Cenang di Langkawi lengang tanpa pengunjung sejak tahun lalu. Gambar: AFP
Suasana kedai di Pantai Cenang di Langkawi lengang tanpa pengunjung sejak tahun lalu. Gambar: AFP

Putrajaya sedang mempertimbangkan perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian projek perintis destinasi gelembung pelancongan yang teruk terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pihak berkepentingan ketika negara menyaksikan peratusan populasi yang divaksinasi semakin meningkat.

“KKM serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah keseluruhan populasinya,” katanya dalam sebuah kenyataan yang turut mengumumkan kebenaran kepada beberapa jenis aktiviti ekonomi untuk beroperasi semula di seluruh negara.

Muhyiddin berkata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri kini sedang mengkaji cadangan dengan mengambil nasihat beberapa pakar.

Beliau berkata di bawah rancangan tersebut, pelancong-pelancong yang mahu ke Langkawi perlu menerima vaksin lengkap Covid-19.

Menurutnya, perancangan tersebut akan diperluaskan ke lebih banyak destinasi pelancongan terutamanya lokasi mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

“perkara ini masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” kata Muhyiddin.