- Iklan -
Berita

Kerajaan benarkan 11 jenis aktiviti ekonomi beroperasi semula mulai esok

Operasi ekonomi yang dibenarkan tertakluk dengan SOP dan beberapa syarat termasuk memastikan pelanggan sudah menerima dua dos vaksin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kedai gunting rambut dibenarkan untuk beroperasi semula mulai esok.
Kedai gunting rambut dibenarkan untuk beroperasi semula mulai esok.

Putrajaya hari ini bersetuju untuk membenarkan 11 lagi jenis aktiviti ekonomi untuk memulakan semula operasi bermula 16 Ogos di negeri-negeri yang berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata semua aktiviti ekonomi tersebut masih tertakluk dengan beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah digariskan sebelum ini, termasuk memastikan pelanggan mereka telah menerima dua dos vaksin.

Berikut adalah senarai perniagaan yang dibenarkan:

1. Kedai cuci kereta
2. Kedai elektrik dan elektronik
3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
4. Kedai perabot
5. Kedai peralatan sukan
6. Kedai aksesori kereta
7. Pusat pengedaran dan jualan kereta
8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja
9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
10. Kedai barang kemas
11. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan 11 lagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi di negeri-negeri Fasa Dua PPN.

Ia termasuk perniagaan barangan fotografi dan perkhidmatannya, barangan terpakai, bunga dan nurseri, kraftangan dan cenderahati, antik, alat permainan, permaidani, kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, peralatan outdoor, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, dan kedai tembakau termasuk rokok elektronik dan vape.

Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian juga turut dibenarkan beroperasi semula di semua negeri.

Muhyiddin turut memberikan amaran sebarang kegagalan untuk mematuhi SOP akan dikompaun dan akan diarahkan tutup.

“Sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Kuasa di tangan anda sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah,” katanya sambil menambah dalam masa dua minggu dari 26 Julai lalu lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP.

“Ini adalah bukti Kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tambahnya.