Monday, September 27, 2021

Tawaran canggih mengembalikan kewarasan dan membungkus puak klepto

Apakah persefahaman rentas parti dibentangkan perdana menteri terlalu sukar difahami sebilangan ahli Parlimen kita sehingga mereka menganggapnya rasuah?

Other News

Salah satu perkara pelik dalam demokrasi berparlimen, iaitu sistem diasaskan pada pentadbiran majoriti, ialah sebuah kerajaan yang tidak stabil lebih cenderung malah berupaya memberikan manfaat kepada rakyatnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggambarkan sedemikian apabila beliau bertindak menarik sokongan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak menerusi sebuah persefahaman rentas parti, selepas sekumpulan pemimpin Umno menarik diri daripada menyokong kerajaan lalu mengancam kejatuhan kerajaan.

Beliau tidak perlu malu mengakui kerajaannya ibarat “telur di hujung tanduk”.

Ini kerana, semuanya berpunca daripada sekumpulan pemimpin dicemari skandal, yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mengelak hukuman penjara, termasuk merancang menggulingkan kerajaan ketika rakyat bergelut dengan kematian dan ketika ratusan mayat mengisi kuburan setiap hari.

Dua objekif cadangan dibentangkan Muhyiddin semalam ialah bagi mengelak kejatuhan kerajaan pada saat-saat kritikal negara bergelut dengan pandemik, dan menghalang pentadbiran negara dikuasai semula ahli politik yang rasuah.

Apatah lagi, sebelum ini, usaha menjatuhkan mereka memakan masa 60 tahun!

Muhyiddin menjanjikan beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan pentadbirannya dalam tempoh satu tahun ke depan.

Janji-janji ini bukan kecil, namun seperti yang dikatakan seorang ahli Parlimen pembangkang, ia adalah “reformasi dwi partisan yang sangat-sangat diperlukan negara.”

Pembaharuan-pembaharuan yang dijanjikan itu adalah antara yang pernah dijanjikan oleh sebuah kerajaan sebelum ini, namun tidak mampu dilaksanakan walaupun memiliki mandat jelas pada pilihan raya umum lepas.

Pelan Muhyiddin bukanlah sebuah manifesto pilihan raya yang sebelum ini pernah ditakrifkan sebagai “bukan kitab suci, sekadar panduan”.

Tetapi sebaik sahaja ditawarkan, beberapa pemimpin parti sudah cepat-cepat menolak tawaran tersebut.

Reaksi mereka sememangnnya dapat difahami.

Politik kita memang lama diwarnai sikap besar diri dan emosi. Ramai ahli politik sudah terbiasa dengan konsep kuno iaitu kesetiaan kepada parti, walaupun ia bermaksud matlamat utama mereka untuk berkhidmat kepada rakyat boleh digadaikan.

Hakikatnya, persefahaman rentas parti ini merupakan alat yang sofistikated dan praktikal bagi memastikan dasar-dasar yang akan menguntungkan negara dapat terus berjalan.

Di UK misalnya, pelbagai kerajaan yang berkuasa bertindak mengambil pendekatan ini dalam menyelesaikan perbalahan yang rumit, termasuk dalam rundingan pasca-Brexit akhir tahun lalu.

Oleh itu, untuk menolak tawaran Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai rasuah, atau menganggapnya langkah terdesak untuk terus berkuasa, adalah sesuatu yang simplistik.

Mereka yang membuat dakwaan sedemikian sama ada tidak memahami definisi rasuah, atau terperangkap dalam kapsul masa sistem demokrasi berparlimen.

Dengan membuat tawaran secara terbuka yang dipancarkan menerusi saluran televisyen, Muhyiddin membuka lembaran baru dalam politik Malaysia.

Beliau boleh saja memikat ahli Parlimen dengan tawaran wang tunai, jawatan dan kontrak supaya mereka melompat parti lalu menambah angka sokongan kepada kerajaan.

Sebaliknya, ahli Parlimen diberikan notis secara terbuka dengan sebuah permintaan yang jelas: berikan sokongan sementara untuk mengelakkan kejatuhan kerajaan pada waktu genting ini, dan sebagai gantinya mereka dapat melaksanakan apa yang diperjuangkan selama ini.

Malah pada masa sama, mereka juga boleh terus kekal sebagai pembangkang dan meneruskan peranan mereka.

Bagaimana ia boleh dikatakan sebagai rasuah adalah sesuatu sukar difahami.

Dan yang paling istimewa dalam tawaran Muhyiddin ini ialah sebilangan pemimpin yang dicemari dengan perbuatan salah guna kuasa dan rasuah akan dihumban ke dalam tong sampah politik.

Di dalam tong sampah inilah, sekerat dua mereka boleh terus membuat ulasan sinis dan tenggelam dalam pujian komen media sosial yang dinaikkan pengikut palsu mereka.

Abdar Rahman Koya adalah CEO dan editor MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles