- Iklan -
Berita

Kenyataan Umno berhubung pembukaan sekolah tidak tepat, kata Pemuda Bersatu

Menurut Ashraf, pendidikan adalah isu generasi masa depan yang tidak seharusnya dipolitikkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim membidas kenyataan Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berhubung isu pembukaan sekolah yang disifatkannya tidak berasaskan fakta tepat.

Katanya, pendidikan adalah isu berkaitan generasi masa depan yang tidak seharusnya dijadikan bahan untuk meraih markah politik.

“Kementerian pendidikan (KPM) dalam kenyataan bertarikh 17 Julai menyatakan bahawa pengumuman pembukaan semula sekolah akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

“Situasi pandemik Covid-19 adalah dinamik dan berubah dari semasa ke semasa. Dalam membuat keputusan yang terbaik untuk semua, KPM perlu mengambil kira beberapa faktor lain seperti kadar vaksinasi, status fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) setiap negeri serta analisis risiko di setiap kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril semalam mempertikaikan Menteri Pendidikan Radzi Jidin yang tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai isu tersebut.

Menurut Ashraf, KPM akan mengambil kira penilaian risiko pihak kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuka semula sekolah.

Dalam pada itu, mengenai pemberian peranti kepada murid sekolah, Ashraf berkata setakat 5 Ogos, lebih 91,000 peranti berjaya diedarkan manakala baki akan selesai diagih pada akhir September ini.

“Usahlah keterujaan dan keghairahan kita dalam berpolitik akhirnya menggadai masa depan anak-anak kita.”

Terdahulu, KKM membenarkan individu berusia 12 hingga 17 tahun menerima vaksinasi mengikut dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai komorbiditi.

Sesi persekolahan dijadualkan dibuka secara berperingkat bermula 1 September, mengikut SOP PPN selepas dijalankan secara dalam talian sepanjang perlaksanaan perintah kawalan pergerakan 3.0.