- Iklan -
Berita

Undi percaya pada PM dijadualkan pada 7 September, kata menteri

Saifuddin Abdullah bidas khabar angin mengatakan ia akan diadakan lebih awal.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunidkasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Komunidkasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

 

Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan berlangsung pada 7 September ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, ketika banyak khabar angin mengatakan ia akan diadakan lebih awal.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, perkara itu berdasarkan aturan mesyuarat Parlimen yang sudah ditetapkan.

“Buat masa sekarang, ini tarikhnya, dan notis dikeluarkan oleh speaker Dewan Rakyat supaya ia diadakan pada 7 Sept,” kata Saifuddin pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Dewan Rakyat seharusnya mula bermula pada awal September, akan tetapi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pembangkang Pakatan Harapan (PH) terus mendesak supaya diadakan lebih awal.

Ini susulan tindakan Zahid, bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa ahli Parlimen Umno menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak lagi menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Apabila didesak berkenaan isu pandangan Istana Negara yang mahu sidang diawalkan, Saifuddin berkata beliau  terikat dengan undang-undang yang melindungi rahsia-rahsia rasmi.

“Saya akan melakukan kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi jika saya menjawab soalan anda. Malangnya, saya tak boleh menjawab soalan itu,” katanya.

“Ada banyak kemungkinan dalam politik, namun secara rasminya tarikh yang ada ialah pada 7 September.”

Saifuddin berkata usul percaya itu akan dibawa sama ada oleh Muhyiddin sendiri, timbalannya Ismail Sabri Yaakob atau menteri lain yang diarahkan kabinet.

Katanya kabinet juga masih membincangkan bagaimana usul itu akan dikendalikan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan diberi peluang berucap sebelum pengundian dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan Saifuddin berkata, parti-parti dalam PN kekal menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Katanya, walaupun tidak menyertai mesyuarat yang diadakan di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya semalam, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Pertemuan itu menyaksikan semua ketua parti-parti menyatakan mereka kekal menyokong dan istiqamah kepada kerajaan serta Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara,” katanya pada sidang media mengenai keselamatan siber secara dalam talian hari ini.

PN dianggotai oleh Bersatu PAS, Star, Gerakan dan SAPP.

Sementara MCA dan MIC dari Barisan Nasional (BN) kekal menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.