- Iklan -
Berita

Sultan Johor jemput PM santapan tengah hari bersama

Muhyiddin memberikan taklimat kepada Sultan Ibrahim mengenai perkembangan terkini negara dalam pertemuan hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Istana Pasir Pelangi hari ini. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Istana Pasir Pelangi hari ini. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menjemput Muhyiddin Yassin untuk santapan tengah hari bersama di Istana Pasir Pelangi di mana perdana menteri memberikan taklimat mengenai perkembangan terbaru berhubung isu-isu berkaitan negara.

Terdahulu, Muhyiddin yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dirasmikan Sultan Ibrahim hari ini.

Dalam ucapan perasmian sidang DUN Johor, Sultan Ibrahim mengulangi peringatan beliau kepada Adun untuk tidak mengganggu-gugat kerajaan sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baru, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sidang DUN Johor hari ini adalah yang pertama diadakan sejak sidang Parlimen dan DUN ditangguhkan di bawah Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada Januari lalu.

Sesi sidang DUN Johor terakhir diadakan pada 26 November hingga 6 Disember tahun lalu.

Susulan penarikan semula sokongan terhadap beliau oleh sekumpulan ahli Parlimen Umno yang akur dengan desakan presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas pemimpin parti itu, Najib Razak, Muhyiddin berkata beliau bersedia untuk mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi membuktikan beliau memiliki sokongan yang cukup bagi mengetuai pentadbiran kerajaan.

Zahid, Najib disertai Presiden PKR Anwar Ibrahim merupakan penggerak utama kempen bagi menggulingkan Muhyiddin sejak tahun lalu.