- Iklan -
Berita

Selepas ‘berdemo’ tanpa pelitup muka, Khalid sahkan dirinya positif Covid-19

Mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli Parlimen itu kini bimbang turut dijangkiti Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bercakap dengan beberapa anggota polis tanpa mengenakan pelitup muka dalam tunjuk perasaan 2 Ogos lalu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bercakap dengan beberapa anggota polis tanpa mengenakan pelitup muka dalam tunjuk perasaan 2 Ogos lalu.

Terdapat kebimbangan berhubung individu yang memiliki kontak fizikal rapat dengan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kemungkinan dijangkiti Covid-19 susulan pengesahan pemimpin Amanah bahawa beliau diuji positif virus tersebut.

Khalid berkata beliau mengetahui bahawa dirinya positif Covid-19 selepas melakukan ujian kendiri semalam dan kini masih menunggu hasil ujian PCR yang lebih tepat. (Sebuah laman Facebook yang berkait dengan beliau mengesahkan keputusan ujian PCR yang dijalaninya adalah negatif.)

Pengesahan Khalid itu dilaporkan selepas sembilan hari beliau dilihat menanggalkan pelitup muka ketika berucap dengan beberapa orang pegawai polis dilihat berada dalam jarak rapat di sekelilingnya sewaktu tunjuk perasaan bersama ahli Parlimen pembangkang lain pada 2 Ogos lalu di luar kawasan Parlimen.

Rakaman acara itu menunjukkan Khalid menanggalkan pelitup muka ketika penunjuk perasaan menghampiri sekatan oleh pihak berkuasa.

Perbuatan Khalid itu turut dikritik Dr Ahmad Samhan, seorang doktor perubatan terkenal di media sosial.

“Kalau pemimpin pun langgar SOP macam mana rakyat nak patuh.

“Kalau rakyat kena kompaun, pemimpin pun patut kena kompaun!

“Siap ada buka mask. Frontliners tepuk dahi tengok,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook disertai gambar Khalid bercakap dengan seorang polis ketika ahli-ahli Parlimen berusaha masuk merentas sekatan menuju ke Parlimen.

Bercakap kepada Malaysiakini, Khalid mendedahkan beliau menjalani kuarantin kendiri pada 4 Ogos, dua hari selepas perhimpunan itu, setelah seorang kakitangannya diuji positif.

Berikutan pengesanan tersebut, Khalid berkata beliau menjalankan kuarantin kendiri sambil menambah ujian RTK berikutnya menunjukkan beliau negatif virus tersebut.

Pengesahan Khalid beliau kini positif Covid-19 menimbulkan kebimbangan petugas media dan anggota polis yang berada di perhimpunan pembangkang pada 2 Ogos lalu.

“Saya putuskan untuk ambil ujian Covid-19 kerana turut berada dalam jarak dekat dengan Khalid yang tidak memakai pelitup muka,” kata seorang jurukamera sebuah laman sesawang berita, yang tidak mahu namanya disebut dan menambah bahawa dia masih belum mendapat keputusan ujian tersebut.

Perhimpunan ahli Parlimen pembangkang dilakukan sebagai tanda protes terhadap keputusan penangguhan sidang Parlimen berdasarkan arahan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah susulan beberapa kes berkaitan varian Delta dikesan sepanjang sidang Dewan Rakyat beberapa hari sebelum itu.

Antara yang dikaitkan dengan kluster Parlimen termasuk Jaimin Samitah, seorang pegawai khas di kementerian pelancongan, seni dan budaya.

Beliau dilaporkan menjadi antara korban Covid-19 minggu ini, beberapa hari selepas hadir di Parlimen bagi menemani timbalan menteri Guandee Kohoi.