- Iklan -
Berita

Pengkritik pemimpin tak seharusnya ditahan, kata menteri

Tangkapan atau penahanan ke atas mereka tidak wajar dilakukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa kerana menahan beberapa individu kerana mengkritik pemimpin.

Katanya, tangkapan atau penahanan ke atas mereka tidak wajar dilakukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi.

“Kalau berita palsu memang kita akan siasat dari masa ke semasa, sebagai seorang demokrat, saya tidak setuju mana-mana individu ditangkap kerana mengkritik pemimpin politik,” katanya pada satu sidang media secara dalam talian hari ini.

“Kecuali apabila ia menyentuh hal-hal agama dan raja. Walaupun mungkin tidak setuju dengan kritikan anda, tapi saya akan pertahankan hak bersuara anda.”

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, Saifuddin dipercayai mengulas penahanan beberapa individu ekoran mengkritik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook.

Pada 10 Ogos lalu, dua lelaki ditahan polis kerana membuat komen yang dianggap negatif dan jelek kepada Sanusi, ia susulan laporan yang dibuat seorang pegawai khas menteri besar.

Manakala, pada 9 Ogos, seorang warga emas berusia 61 tahun turut direman kerana memuat video yang didakwa mengaibkan Sanusi.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memohon semua ahli-ahli politik dan rakyat supaya berbicara mengikut lunas Perlembagaan dan bukannya mengikut perasaan semata-mata.

“Sebagai contoh peguam Gopal Sri Ram, mereka berbicara mengikut lunas Perlembagaan, (kerana) ada yang persoal keabsahan perdana menteri.

“Tapi banyak antara kita yang berbicara berasakan emosi dan kecenderungan politik keterlaluan, kita galakkan debat, tapi biarlah berlunaskan ilmu pengetahuan dan Perlembagaan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.