Monday, September 20, 2021

Mahkamah tolak permohonan Najib, anak untuk dengar isu Perlembagaan berhubung cukai

Mahkamah memihak untuk meneruskan rayuan tersebut yang turut merangkumi isu perlembagaan dan perkara lain.

Other News

Mahkamah Rayuan menolak permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin, untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan untuk meneruskan mendengar rayuan bekas perdana menteri dan anaknya berhubung saman yang dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka.

“Kami tidak menyebelahi anda dalam permohonan ini, untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu perlembagaan melibatkan Seksyen 106 (3),” kata hakim Abdul Karim kepada Shafee.

Hakim Mahkamah Rayuan (Abdul Karim) berkata mahkamah lebih memihak untuk meneruskan rayuan tersebut yang turut merangkumi isu perlembagaan dan perkara lain.

Hakim Abdul Karim bersidang bersama hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan hakim Supang Lian kemudiannya menetapkan 9 September untuk mendengar rayuan itu.

Shafee memohon untuk penangguhan perintah Mahkamah Tinggi sementara menunggu perbicaraan rayuan tetapi hakim Abdul Karim berkata mahkamah tidak dapat memberikan penangguhan itu.

Pada prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian, Shafee meminta Mahkamah Rayuan merujuk lima persoalan undang-undang termasuk kesahihan Seksyen 106 (3) kerana beliau berkata ia adalah isu penting.

Shafee berkata beliau akan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk korum hakim seramai lima atau tujuh orang, memutuskan mengenai isu perlembagaan termasuk persoalan sama ada Seksyen 106 (3) adalah tidak berperlembagaan dan ultra vires kerana ia telah merampas kuasa kehakiman mahkamah yang dijamin oleh Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, peguam kanan hasil Hazlina Husain tidak bersetuju, mengatakan tiada kekaburan mengenai tafsiran Sekyen 106 (3) sambil menambah bahawa tiada apa-apa yang tidak berperlembagaan dalam seksyen itu.

Seksyen 106 (3) menyatakan mana-mana prosiding di bawah seksyen itu, mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan dua Mahkamah Tinggi berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta (Nazifuddin).

Pada 22 Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus terhadap Najib dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada Najib bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Najib gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 14 Jun lalu untuk menggantung pelaksanaan perintah penghakiman terus itu.

LHDN pada 4 Feb tahun ini, mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Najib berikutan Ahli Parlimen Pekan itu gagal membayar jumlah tersebut.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.

Sementara itu, Nazifuddin pula pada 6 Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan beliau membayar tunggakan cukai berjumlah RM37.6 juta bagi tempoh 2011 dan 2017 selepas membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus.

Notis kebankrapan dikeluarkan kepadanya pada 30 April tahun ini selepas dia gagal membayar jumlah itu.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles