- Iklan -
Berita

Krisis Covid-19 dedah beberapa pelajaran mengenai penjagaan kesihatan

Pakar memberikan cadangan bagaimana pihak berkuasa boleh menguruskan Covid-19 dengan lebih baik dan apa yang boleh dilakukan orang ramai bagi mengurangkan tekanan sistem penjagaan kesihatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Dua petugas berpakaian PPE berjalan keluar dari kawasan PKPD. Tekanan sektor kesihatan perlu dikurangkan dan ia memerlukan kerjasama orang ramai untuk menurunkan angka kes di Covid-19 di seluruh negara.
Dua petugas berpakaian PPE berjalan keluar dari kawasan PKPD. Tekanan sektor kesihatan perlu dikurangkan dan ia memerlukan kerjasama orang ramai untuk menurunkan angka kes di Covid-19 di seluruh negara.

Pakar kesihatan menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan semula pendekatan dalam usaha mengatasi pandemik Covid-19 susulan peningkatan kes akibat varian Delta yang kini menular seluruh dunia walaupun negara menyaksikan peningkatan kadar vaksinasi.

Bercakap kepada MalaysiaNow mengenai usaha-usaha menangani pandemik yang dijalankan setakat ini, mereka berkata krisis Covid-19 m mendedahkan beberapa batasan dan kelemahan dalam dasar-dasar penjagaan kesihatan ketika ini.

Dr Salvatore Chirumbolo, seorang ahli biokimia klinikal dari Universiti Verona di Itali, negara Eropah pertama yang dijangkiti wabak itu tahun lalu berkata satu pelajaran utama  adalah memberi tumpuan kepada usaha menangani kes positif bergejala berbanding mengesan kontak rapat.

“Kontak-kontak ini terdiri daripada ramai orang yang tidak akan terkena penyakit sehingga menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pertimbangan janggal yang menganggap mereka ‘mungkin’ akan dimasukkan ke hospital memaksa kerajaan mengambil tindakan untuk laksana lockdown dan sekatan pergerakan.”

Beliau menambah strategi ini “gagal sepenuhnya” selain turut berkata sebagai alternatif, mereka yang mengalami gejala awal Covid-19 harus dikenal pasti dan rawatan perlu dijalankan ketika jangkitan masih di tahap awal.

“Ini akan mengurangkan beban berlebihan sektor kesihatan awam dan hospital,” katanya.

Pada Disember, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran cetusan jangkitan wabak yang lebih buruk mungkin boleh terjadi, mendesak dunia supaya lebih “serius” dalam persediaan menghadapinya sebelum ia berlaku.

“Pandemik ini sangat dahsyat,” kata Ketua Pengurusan Darurat WHO, Michael Ryan.

“Ia merebak ke seluruh dunia dengan sangat cepat dan memberi kesan terhadap setiap sudut planet ini, namun hal ini mungkin belum dilihat sebagai wabak dahsyat.

“Kita perlu bersiap sedia untuk sesuatu yang mungkin lebih dahsyat pada masa akan datang.”

Malaysia mencatatkan peningkatan kes harian lebih 20,800 jangkitan minggu lalu dan mencatatkan 360 kematian pada Ahad.

Ketika ini, lebih dari 1,000 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selain ratusan lagi yang memerlukan bantuan pernafasan.

Pada 5 Ogos, Putrajaya berkata akan mula menggunakan jumlah kes baru bergejala serius sebagai indikator untuk peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang ditugaskan untuk menyelaraskan PPN mengatakan jumlah kes baru menjadi kurang relevan jika dibanding dengan kadar vaksinasi negara kerana kebanyakan kes adalah asimptomatik atau bergejala ringan sekali gus mengurangkan beban sistem kesihatan awam.

Salvatore berkata pada pasca Covid-19, pihak berkuasa perlu memperluas dan meningkatkan apa yang disebut beliau sebagai “penjagaan luaran.”

Mereka juga perlu menilai keadaan pesakit dengan cepat dan mengenal pasti sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan segera sambil menambah perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta harus bekerjasama dengan sektor awam bagi menyediakan rangkaian utiliti penjagaan.

“Luaskan kepakaran penjagaan kesihatan kepada satu kumpulan doktor diberikan kuasa di mana-mana kawasan dalam negara bagi membendung penularan jangkitan dari minggu pertama gejala dikesan,” katanya.

“Pencegahan supaya pesakit tidak dimasukkan ke hospital dan ICU adalah keutamaan, selain usaha vaksinasi.”

Di kebanyakan negara, pandemik ini juga mendedahkan realiti sistem penjagaan kesihatan yang kekurangan dana dan tenaga kerja dianggotai petugas kesihatan yang memperolehi gaji di bawah paras sepatutnya selain beban kerja yang banyak.

Salvatore berkata pihak berkuasa harus menumpukan usaha meningkatkan rangkaian doktor, pengamal perubatan dan jururawat bagi merawat pesakit yang menunjukkan tanda-tanda awal penyakit, terutama virus berjangkit seperti Covid-19.

“Mereka boleh mengakses dan merawat pesakit dengan segera apabila gejala muncul, baik secara bersemuka atau dengan cara lebih yang lebih memudahkan sama ada melalui jarak jauh atau maya.”

M Mohan, pengarah penyediaan perkhidmatan kesihatan tempatan Click2Health, berkata selain daripada membuat rombakan sistem rawatan arus perdana, pihak berkuasa harus berusaha untuk mewujudkan sistem rekod perubatan dalam talian.

“Rekodnya boleh dilihat di mana-mana,” katanya.

“Sekiranya doktor ingin mengetahui sejarah perubatan pesakit, bagaimana mereka boleh uruskan pesakit dan tetapkan ubat tanpa akses rekod perubatan terlebih dahulu?”

Beliau mencadangkan platform serupa seperti aplikasi MySejahtera yang akan memberikan akses kepada doktor supaya lebih mudah meneliti rekod perubatan pesakit, sambil menambah beberapa negara maju mulai meneroka idea ini walaupun wujud kebimbangan mengenai privasi.

Berhubung pendekatan yang lebih luas, beliau berkata orang ramai harus dididik tentang pentingnya untuk menjaga diri supaya sentiasa sihat, memandangkan jumlah kematian Covid-19 dengan komorbiditi.

“Orang ramai perlu jaga kesihatan mereka,” katanya.

“Sekarang semua orang salahkan kerajaan, sedangkan mereka tidak jaga kesihatan diri atau makan dengan cara yang betul.

“Kita tidak memiliki sikap tanggungjawab kepada diri sendiri bagi menjamin kesihatan diri.”

Hal ini, katanya, akan menjadi penyelesaian jangka panjang bagi meringankan tekanan sistem kesihatan, katanya.