- Iklan -
Berita

Bimbang varian Delta, Sarawak gesa Putrajaya pertimbang semula keputusan buka sekolah

Vaksinasi golongan berusia di bawah 18 tahun perlu dipertimbangkan kerana manfaatnya melebihi risiko ketika ini.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Putrajaya diminta mempertimbangkan semula keputusan membuka semula sesi persekolahan kerana wujud kebimbangan penularan varian Delta.
Putrajaya diminta mempertimbangkan semula keputusan membuka semula sesi persekolahan kerana wujud kebimbangan penularan varian Delta.

Kementerian pendidikan Sarawak hari ini menggesa kerajaan pusat untuk mengkaji semula keputusan membuka semula sekolah pada 1 September memandangkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi dalam negara ketika ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin Jawong menyuarakan kebimbangannya susulan penularan varian Delta yang mudah menular dan menjadi antara punca lonjakan kes jangkitan baru-baru ini, mengatakan penularan lebih agresif boleh menyebabkan tercetusnya jangkitan di sekolah kerana mereka yang berusia di bawah 18 tahun belum divaksinasi.

“Secara peribadi, saya percaya sekolah tidak boleh dibuka semula pada September sekiranya kes Covid-19 masih meningkat kerana terdapat kes positif dikesan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Namun, keputusan akhir terletak kepada kementerian pendidikan di Putrajaya.”

Walaupun angka kes jangkitan melibatkan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital di Sarawak masih kecil, namun angka baru yang dilaporkan pada Selasa menunjukkan bahawa 31% atau 260 dari 836 kes jangkitan melibatkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Hospital Umum Sarawak melaporkan kira-kira 20% daripada lebih dari 1,100 jangkitan melibatkan mereka yang berada dalam kumpulan usia ini.

Menteri Muda Pendidikan Negeri Dr Annuar Rapaee berkata pihak berkuasa harus mempertimbangkan memasukkan anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun dalam program vaksinasi.

Annuar, yang merupakan pakar kardiologi berkata ini adalah kaedah terbaik dalam usaha mengawal wabak daripada menular di persekitaran sekolah, terutamanya jangkitan asimptomatik dalam kalangan kanak-kanak yang masih boleh menyebarkan virus tersebut.

“Sejujurnya, saya lebih mementingkan usaha vaksinasi bagi mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun,” katanya.

“Untuk mencapai imuniti kelompok, kita perlu beri vaksin kepada lebih ramai orang. Tidak ada jalan keluar lain. Kita mesti masukkan kumpulan ini. ”

Beliau mengakui wujud kebimbangan terhadap kes keradangan jantung yang jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak akibat reaksi terhadap vaksin, namun beliau berkata manfaat vaksinasi jauh melebihi risiko, terutama ketika kemunculan varian yang lebih berbahaya yang mudah menular.

Beliau berkata risiko miokarditis atau perikarditis adalah rendah kerana hanya 0,00004% kes bagi setiap satu juta dos vaksin yang diberikan kepada lelaki berusia 12 hingga 29 tahun mengalami komplikasi tersebut.

“Ya, ada kebimbangan mengenai komplikasi daripada kesan sampingan. Tetapi (terdapat) 40 kes dari satu juta dan ini berlaku terutamanya pada lelaki berusia 19 hingga 29 tahun. Wanita mempunyai risiko yang lebih rendah untuk alami miokarditis. ”

Bagaimanapun beliau mengakui terdapat kesan jangka panjang namun ia masih belum dapat dipastikan dengan jelas.