- Iklan -
Berita

Fikir di luar kotak, SPR didesak segera rancang PRN Sarawak

Walaupun pilihan raya negeri ditangguhkan ekoran pengisytiharan darurat selama enam bulan, persiapan masih perlu dilakukan bagi kemungkinan pilihan raya dilaksanakan ketika pandemik.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi menunjukkan jari yang berdakwat tanda selesai membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah  tahun lalu.
Seorang pengundi menunjukkan jari yang berdakwat tanda selesai membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Seorang ahli akademik mendesak pihak berkuasa memikirkan cara-cara untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ketika negeri itu masih berdepan pandemik, terutama ketika varian Delta dikesan selepas dianggap menjadi sebab lonjakan kes di banyak negara, termasuk Malaysia.

Walaupun PRN yang dinantikan ramai pihak ditangguhkan sekali lagi disebabkan pengumuman darurat selama enam bulan di Sarawak, persiapan yang dilakukan sejak tahun lalu tetap diteruskan, sebahagiannya disebabkan cabaran unik mengendalikannya di Malaysia Timur.

Dengan keadaan topografi yang besar dan pelbagai, pilihan raya pandemik di Sarawak dijangka memerlukan lebih banyak perbelanjaan kewangan, sumber manusia dan perancangan logistik.

“Sekiranya pilihan raya diadakan, kita perlu pastikan keselamatan semua orang, baik varian Delta ada atau tidak,” kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak kepada MalaysiaNow.

“Kos untuk adakan pilihan raya juga dijangka akan meningkat.”

Peningkatan kos tersebut adalah berikutan keperluan untuk membuka lebih banyak pusat pengundian, saluran mengundi, selain memerlukan lebih ramai pegawai dan petugas.

Pembelian peralatan kesihatan yang diperlukan untuk mengekang virus juga seperti yang disarankan kementerian kesihatan.

Melancarkan operasi pilihan raya di negeri itu tidak mudah, bagaimanapun Ikmalrudin berkata SPR sentiasa bersedia sejak PRN Sabah pada September tahun lalu, yang kemudian disusuli gelombang baru jangkitan Covid-19.

“Kami melaksanakan inisiatif yang lebih baik,” katanya di mana ia termasuk usaha membuka pusat pengundian eksklusif untuk warga emas dan orang kurang upaya.

“Menambah lebih banyak saluran pengundian juga dapat mengurangkan kesesakan dan kurangkan waktu menunggu,” katanya.

“Kemudahan pengangkutan dan kerusi roda juga akan disediakan bagi memastikan pengundian dapat dilakukan dengan teratur dan sistematik.”

Pengundian dalam talian atau bahagikan selama beberapa hari

Bagaimanapun, Dr Helmy Hazmi dari Universiti Malaysia Sarawak mempersoalkan sejauh mana penyediaan lebih banyak saluran pengundian dapat mengurangkan kesesakan di pusat-pusat mengundi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Helmy berkata mengadakan PRN mungkin hanya menyumbang kepada peningkatan jangkitan kes.

Beliau mencadangkan supaya pengundian dibahagikan dan dijalankan selama beberapa hari.

“Ia mungkin makan waktu lebih lama daripada biasa,” katanya.

“Namun dengan cara ini pergerakan orang ramai dapat diatur. Selain itu, mungkin juga jumlah sukarelawan dan pekerja SPR boleh dikurangkan.

“SPR, juga mungkin boleh benarkan warga emas mengundi pada hari pertama diikuti golongan muda pada hari kedua. Pada hari ketiga, mereka yang kurang upaya atau mempunyai keperluan khas seperti golongan yang berkerusi roda, boleh laksanakan tanggungjawab mengundi mereka.

“Data daripada pilihan raya sebelum ini dapat digunakan untuk menentukan jumlah hari mengundi.”

Helmy turut mencadangkan agar pengundian dilakukan di kawasan bandar terlebih dahulu dan kemudian diikuti lokasi luar bandar.

Helmy berkata semua ini bergantung kepada SPR dan setakat mana badan itu boleh berinovatif.

Sebagai contoh, katanya, pengundian dalam talian boleh diadakan di kawasan bandar dengan akses internet yang stabil.

“Itu akan menjadi pendekatan baru dan bermanfaat bagi rakyat Sarawak yang tinggal di Malaysia Barat atau di tempat lain di dunia. Mereka tidak perlu pulang untuk mengundi,” katany dan menambah pengundian melalui pos juga boleh dijadikan pilihan.

Bagaimanapun jika pengundian sememangnya perlu dilaksanakan secara fizikal, strategi harus dirancang untuk mencegah kehadiran ramai orang sehingga menjadi tidak terkawal.

Peraturan kempen pilihan raya

Begitu juga, kata Helmy, peraturan yang ketat harus dikenakan terhadap parti politik sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata kesihatan awam akan berisiko sekiranya individu diizinkan melakukan perjalanan ke dalam negeri ini untuk berkempen.

“Adakah kita akan benarkan ahli politik dari Malaysia Barat datang ke negeri ini? Pengurusan sempadan masih penting, walaupun majoriti penduduk kita divaksinasi.”

Katanya, jika seseorang mahu memasuki negeri ini untuk tujuan kempen, mereka harus dikuarantin selama dua minggu sebelum dibenarkan masuk.

“Sekiranya kita fikirkan kakitangan kesihatan yang sudah tanggung banyak beban di hospital, hal ini tidaklah begitu sukar,” katanya.

“Tahun lalu, perkara ini adalah antara isu yang beri kesan kepada Sabah.”

Sebelum PRN Sabah yang diadakan pada 26 September tahun lalu, kes-kes harian hanya merekodkan dua hingga tiga digit.

Jangkitan kes mula melonjak setelah PRN Sabah yang akhirnya mencapai angka empat digit.

Pilihan raya dianggarkan menyumbang 70% kes di negeri itu dan sekurang-kurangnya 64% di seluruh negara.

Ketika ditanya mengenai perkembangan penetapan prosedur pilihan raya, Ikmalrudin mengatakan SPR sedang berusaha untuk menyiapkan prodesur operasi standard (SOP).

“Demi demokrasi, kami akan laksanakan tugas untuk adakan pilihan raya,” katanya.

“Kami bekerjasama dengan kementerian kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk memastikan langkah berjaga-jaga dan pencegahan penularan Covid-19 berjalan lancar.”

“Semua SOP akan diumumkan selepas diwartakan.”

Ikmalrudin berkata pematuhan SOP akan menjadi bahagian terpenting sepanjang proses pilihan raya.

“Sangat penting semua parti politik kekal berjaga-jaga dan patuh SOP bagi mencegah penularan Covid-19.”