- Iklan -
Berita

Adun DAP tegur pembangkang, sifatkan pemimpin ‘pentingkan diri’ bergelut untuk berkuasa

Adun Sabai Kamache Doray Rajoo berkata kebimbangan rakyat tidak sama dengan apa yang menjadi kebimbangan ahli politik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Sabai Kamache Doray Rajoo. Gambar: Facebook
Adun Sabai Kamache Doray Rajoo. Gambar: Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP mengkritik teman-temannya dalam pembangkang kerana sibuk bergelut untuk menukar kerajaan ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang mengorbankan ramai orang dalam sebuah ulasan yang dilihat tidak selari dengan partinya.

“Majoritilah, ini dan itu. Apa yang lebih penting sekarang?

“Saya juga bercakap tentang pembangkang, jangan asyik nak tukar kerajaan saja tahu.” kata Kamache Doray Rajoo yang merupakan Adun Sabai di Pahang kepada Malaysiakini.

Beliau mempersoalkan mereka yang mendesak supaya kerajaan digulingkan, mengatakan ia tidak akan memberikan sebarang perubahan dalam usaha menangani pandemik ketika ini.

“Anda tukar kerajaan apa yang boleh buat. Orang mati, siapa peduli tentang semua ini,” katanya.

Beliau berkata orang ramai mempunyai kebimbangan yang berbeza daripada ahli politik, antara lain memetik contoh bekalan vaksin yang kurang di kawasan diwakilinya.

“Kita masih jauh lagi untuk capai imuniti kelompok. Ini tidak baik. Saya tengok pemimpin-pemimpin lebih pentingkan diri,” kata Kamache.

Pandangan beliau itu selari dengan gesaan seorang pemimpin veteran DAP Tan Seng Giaw yang menggesa semua pihak berhenti berebut kuasa dan menumpukan perhatian untuk melawan pandemik.

“Soal perang dan berbalah parti ini, siapa nak jadi kerajaan, siapa nak jadi itu, siapa nak jadi ini, hentikanlah dulu,” kata Tan yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal sehingga 2018 kepada MalaysiaNow.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur pemimpin politik Melayu yang mahu menggulingkan kerajaan, menyifatkan tindakan mereka mengganggu usaha kerajaan ketika rakyat sedang mengalami kesusahan disebabkan pandemik.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” katanya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Umno Ahmad Zahid Hamidi serta bekas perdana menteri Najib Razak menjadi pemimpin dalam kempen menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejak tahun lalu.

Usaha mereka mendapat momentum baru-baru ini apabila Zahid menggesa menteri-menteri Kabinet Umno meletakkan jawatan daripada kerajaan.

Zahid dan Najib berkata sudah mendapat sokongan dari 15 ahli Parlimen ketika ini.