- Iklan -
Berita

Pemimpin veteran DAP gesa hentikan perebutan kuasa, tumpu perang Covid-19

Sempena Awal Muharram, Dr Tan Seng Giaw seru pemimpin politik utamakan kesihatan dan kebajikan rakyat.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw. Gambar: Facebook
Bekas ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw. Gambar: Facebook

Seorang pemimpin veteran DAP yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen hampir empat dekad menggesa semua pemimpin politik menghentikan polemik perebutan kuasa dan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw yang berkhidmat selama lapan penggal sebelum digugurkan pada Pilihan Raya Umum 2018 berkata sambutan awal tahun baru Hijrah umat Islam di Malaysia hari ini sepatutnya mangajar rakyat Malaysia untuk mengenal pasti keutamaan mereka.

“Awal Muharram mengajak kita untuk berbuat baik. Jadi lakukanlah perkara paling penting dulu, kesihatan rakyat,” kata Tan yang juga bekas ahli Parlimen yang berkhidmat sejak 1980-an kepada MalaysiaNow.

Ulasan beliau tampil ketika PKR dan Umno meningkatkan usaha untuk mengumpul sokongan bagi menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi sudah menyerahkan akuan sumpah (SD) kepada Yang di-Peruan Agong walaupun Muhyiddin telah memberikan jaminan untuk membentangkan usul undi percaya ketika sidang Parlimen diadakan pada September depan.

Tan berkata semua parti harus tamatkan polemik ketika ini.

“Soal perang dan berbalah parti ini, siapa nak jadi kerajaan, siapa nak jadi itu, siapa nak jadi ini, hentikanlah dulu.”

Tan yang juga seorang doktor berkata, biarpun ramai rakyat sudah divaksin, kematian masih berlaku setiap hari di Malaysia dengan jumlah yang tidak dijangkakan.

Minggu lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Bukan saja kita, seluruh dunia hadapi masalah ini tambah lagi di Amerika Syarikat, sangat teruk walaupun dia jauh lebih maju berbanding kita. Soal siapa nak jadi kerajaan, perang-perang politik hentikanlah dulu,” kata bekas ahli Parlimen Kepong itu.

“Fikir dan cari jalan macam mana nak selesai masalah kesihatan rakyat akibat penularan Covid-19.”

Malaysia merekodkan puluhan ribu kes baru setiap hari apabila varian Delta dikesan menular dalam negara.

Kerajaan menyasarkan imuniti kelompok menjelang akhir Oktober selain turut memulakan langkah untuk membenarkan aktiviti harian di bawah Pelan Pemulihan Negara.