- Iklan -
Berita

5 sampel kes Covid-19 Parlimen disahkan varian Delta, kata KP Kesihatan

Sebanyak 97 kes kluster Parlimen direkod setakat hari ini, dengan satu kematian membabitkan seorang pegawai khas di sebuah kementerian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sidang Parlimen yang bermula 26 Julai lalu terpaksa ditangguhkan pada 29 Julai berikutan kes Covid-19 dikesan di lokaliti tersebut.
Sidang Parlimen yang bermula 26 Julai lalu terpaksa ditangguhkan pada 29 Julai berikutan kes Covid-19 dikesan di lokaliti tersebut.

Sebanyak lima daripada lapan sampel kes Covid-19 di bangunan Parlimen disahkan varian Delta manakala dua tidak berjaya diproses, dan satu sampel masih menunggu keputusan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sampel tersebut mempunyai nilai CT yang rendah dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian genomik.

Sehingga hari ini, Noor Hisham memaklumkan sembilan lagi kes dikesan berkaitan dengan sidang khas Parlimen, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 97.

“Empat kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 hasil saringan semasa Pra-Dewan Rakyat.

“Satu kes baru dilaporkan pada 10 Ogos yang mana kes ini juga merupakan kes kematian pertama, dan empat kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu katanya, enam antaranya lengkap menerima dua dos vaksin.

Menurut Noor Hisham, kes kematian tersebut merujuk kepada pegawai khas kepada seorang timbalan menteri yang hadir ke Parlimen pada 26 hingga 29 Julai.

“Ujian saringan pra Dewan Rakyat (23 Julai) dan ujian RTK-Ag Self-Test Kit Saliva (29 Julai) adalah negatif. Beliau kemudiannya menunjukkan gejala pada 31 Julai dan positif ujian PCR dengan nilai kitaran ambang atau CT value 14.88.

“Keadaan beliau bertambah teruk dan telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos untuk rawatan lanjut. Namun keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia pada 9 Ogos,” katanya.

Katanya, hasil siasatan KKM setakat ini mendapati kes-kes positif tidak mempunyai hubungkait antara satu sama lain kecuali kontak rapat.

Namun risiko penularan jangkitan Covid-19 berlaku disebabkan perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan, kata Noor Hisham.

Hari ini MalaysiaNow melaporkan kematian seorang pegawai khas di sebuah kementerian persekutuan akibat varian Delta yang dijangkitinya di Parlimen semasa sidang khas baru-baru ini.