- Iklan -
Berita

60% populasi Malaysia lengkap dos vaksin menjelang Hari Kebangsaan, kata PM

Muhyidin Yassin berkata 100% penduduk dewasa mendapat vaksin dapat dicapai menjelang akhir Oktober.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur diiringi Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Khairy Jamaluddin. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur diiringi Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Khairy Jamaluddin. Gambar: Facebook

Malaysia akan menyaksikan 60% populasinya mendapat vaksin Covid-19 lengkap menjelang Hari Kebangsaan sementara 100% kadar vaksinasi populasi lengkap divaksinasi dapat dicapai menjelang akhir Oktober, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) hari ini.

“Menjelang 31 Ogos 2021, lebih 60% penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,”katanya.

Beliau berkata menjelang akhir Oktober 2021, dijangkakan 100% penduduk dewasa atau 80% jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin.

Menurutnya, data terkini yang tersedia baik di Malaysia atau negara luar, jumlah kes-kes kritikal serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

Semalam, Putrajaya mengumumkan kelonggaran sekatan pergerakan kepada mereka yang telah menerima vaksin lengkap termasuk kebenaran untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid dan melakukan perjalanan rentas negeri bagi ibu bapa yang melawat anak berusia 18 tahun ke bawah dan pasangan berkahwin.

Kebenaran untuk makan di premis restoran dan dan melakukan perjalanan rentas daerah dibenarkan bagi penerima vaksin lengkap di negeri-negeri di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan kementerian kesihatan.