- Iklan -
Berita

GPS ulangi ikrar sokong Muhyiddin sebagai perdana menteri

Keputusan itu dibuat susulan perjumpaan pengerusinya, Abang Johari Openg bersama dengan ahli-ahli Parlimen parti itu hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Alexander Nanta Linggi. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Alexander Nanta Linggi. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi mengulangi pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dibuat susulan perjumpaan pengerusinya, Abang Johari Openg bersama dengan ahli-ahli Parlimen parti itu hari ini.

Beliau berkata GPS juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

“GPS menyifatkan keputusan perdana menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai satu tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan.

“GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepat proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.

“GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya.