- Iklan -
Berita

Vaksinasi banyak bantu kurangkan jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang, kata ketua menteri

Ketua Menteri Pulau Pinang berharap kementerian berkaitan dapat memastikan bekalan vaksin ke Pulau Pinang mencukupi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran vaksinasi di PPV Kepala Batas, Pulau Pinang. Gambar: Bernama
Orang ramai menunggu giliran vaksinasi di PPV Kepala Batas, Pulau Pinang. Gambar: Bernama

Walaupun Covid-19 telah memasuki fasa penularan dalam komuniti di Pulau Pinang, vaksinasi telah banyak membantu mengurangkan kadar jangkitan virus itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

“Menerusi trend jangkitan kini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) tidak menafikan bahawa vaksinasi banyak membantu mengurangkan kadar jangkitan.

Justeru, saya telah memohon supaya ia (vaksinasi) disegerakan terutamanya mereka yang berkecimpung dalam sektor yang banyak mencetuskan kluster di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, sambil berharap kementerian berkaitan dapat memastikan bekalan vaksin ke Pulau Pinang mencukupi.

Chow berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan seramai 60% populasi dewasa di negeri ini telah menerima dos pertama manakala 24.7% dos kedua.

Sementara itu, Chow mengingatkan setiap rakyat agar mematuhi Arahan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) serta pemakaian gelang kepada mereka yang menjadi kontak kepada kes-kes positif.

Chow juga berkata beberapa perancangan telah dipersetujui dilaksanakan untuk memastikan kemudahan perubatan di negeri ini tidak lumpuh dalam menangani peningkatan kes yang dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu ini.

“Selain penyusunan semula pelan kemudahan kesihatan negeri, pendekatan yang diputuskan adalah termasuk mewujudkan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di lain-lain lokasi hasil usaha sama semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.