- Iklan -
Berita

Prasyarat perlu dipenuhi untuk kelonggaran SOP, kata KKM

Individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 perlu memenuhi prasyarat sebelum mendapat kelonggaran.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kelonggaran SOP bagi penerima vaksin lengkap perlu memenuhi prasyarat kementerian termasuk kadar vaksinasi yang diterima oleh rakyat adalah tinggi.
Kelonggaran SOP bagi penerima vaksin lengkap perlu memenuhi prasyarat kementerian termasuk kadar vaksinasi yang diterima oleh rakyat adalah tinggi.

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan beberapa prasyarat perlu dipenuhi sebelum kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata antara prasyarat itu ialah kadar vaksinasi yang diterima oleh rakyat perlulah tinggi supaya tidak berlaku peningkatan kes baru Covid-19 yang mendadak.

“Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu perlu dilaksana juga kerana varian yang sedia ada lebih mudah disebarkan dan lebih berjangkit. Jadi kita perlu laksana pemakaian pelitup muka, utamakan penjarakan fizikal dan sebagainya dan tidak berkumpul dalam satu kumpulan yang ramai.

“Bila prasyarat yang kita katakan ini telah dapat dilaksanakan, saya rasa akan dibuat pengumuman apakah jenis-jenis kelebihan yang diberi untuk mereka yang telah melaksana dua dos vaksinasi,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman.

Dr Hishamshah berkata pada masa ini perkara berkenaan sedang dibincangkan di peringkat tertinggi mengenai apakah bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada rakyat yang telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata pelaksanaan kelonggaran kepada penerima lengkap vaksinasi tidak perlu dibuat secara terburu-buru dan kerajaan bersama KKM perlu mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Menurutnya Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara yang memberikan kelebihan kepada individu lengkap vaksinasi.

“Mereka beri kelebihan kepada individu yang dah melaksanakan dua vaksinasi ini tetapi bila mereka lihat kembali keputusan itu, mereka rasa kebenaran kelebihan ini diberikan terlampau awal.

“Disebabkan oleh beri kelebihan terlampau awal, mereka biarkan aktiviti sosial terlampau bebas dan sebagainya, mereka melihat peningkatan kes (Covid-19),” katanya.