- Iklan -
Berita

Nazri hanya akan tarik sokongan jika BN arahkan

Nazri berkata tidak akan memberikan respons terhadap surat Umno yang mahu ahli Parlimen menyatakan pendirian mereka berkenaan perakara tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata beliau hanya akan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional jika beliau diarahkan oleh Barisan Nasional ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat tekanan hebat supaya beliau meletakkan jawatan.

Bercakap kepada Astro Awani, beliau mengesahkan telah menerima surat dari Ahmad Maslan yang meminta ahli Parlimen Umno menyatakan pendirian mereka sebelum 7 Ogos ini.

“Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya sambil menambah bahawa orang yang perlu menunjukkan sebab adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020).

Dalam perhimpunan parti itu pada Mac lalu, Umno bersetuju untuk kekal bersama kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Nazri berkata jelas sekali Zahid melanggar keputusan tersebut, memetik audio perbualan beliau dengan Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini.

Dalam sebuah klip rakaman yang didedahkan MalaysiaNow, Anwar didengar mengucapkan tahniah dan memberikan beberapa arahan kepada Zahid yang kemudian mengucapkan terima kasih kerana sokongan moralnya.

“Selain itu saya sudah menyatakan Zahid perlu berjumpa semua ahli Parlimen Umno dan menjelaskan apa yang beliau lakukan tapi sampai sekarang dia tak nak jumpa,” katanya kepada Astro Awani.

Nazri yang menarik sokongannya terhadap Muhyiddin pada Januari berkata pada Jun lalu bahawa beliau telah “ditipu” oleh Zahid untuk melakukannya.

Beliau memberitahu MalaysiaNow bahawa Zahid adalah orang yang bertanggungjawab merancang langkah tersebut namun beliau sendiri gagal menarik sokongan terhadap PN.

Beliau kemudian menyatakan kembali sokongannya terhadap PN pada Julai lalu.

Zahid dan najib Razak menjadi antara pemimpin utama menggesa Muhyiddin untuk meletakkan jawatan, mengatakan pada awal minggu ini bahawa beliau memiliki akuan bersumpah daripada ahli-ahli Parlimen Umno untuk menggulingkan perdana menteri.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau masih memiliki sokongan majoriti selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin turut berkata beliau akan membentangkan usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat pada September depan.