- Iklan -
Berita

Kekal bersama kerajaan, 31 ahli Parlimen BN ketepi desakan Zahid

Mereka berkata gesaan Zahid Hamidi adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang tidak tertakluk terhadap ahli-ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob bercakap dalam sidang media bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob bercakap dalam sidang media bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mengenepikan pengerusi gabungan politik itu, Ahmad Zahid Hamidi, walaupun mereka diminta untuk menyatakan sama ada akan akur untuk menarik semula sokongan kepada kerajaan ketika ini.

“Objektif parti ialah berkhidmat kepada rakyat. Kita akan terus kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan ditentukan dalam Parlimen,” kata mereka pada sidang media yang dihadiri oleh 20 orang ahli Parlimen yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Kumpulan itu mempersoalkan desakan berterusan dari Zahid agar mereka keluar daripada kerajaan selain dakwaan lebih banyak akuan bersumpah (SD) yang menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada sidang media hari ini, antara ahli Parlimen Umno yang hadir ialah Annuar Musa, Nazri Aziz, Shahidan Kassim, Ismail Mohd Said, Mohd Shahar Abdullah, Mahdzir Khalid dan turut disertai M Saravanan dan Wee Ka Siong.

10 lagi ahli Parlimen termasuk beberapa menteri, Dr Adham Baba, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Reezal Merican Naina Merican dilihat tidak hadir hari ini namun menyatakan sokongan mereka bersama kumpulan tersebut.

Senarai nama dan tandatangan ahli Parlimen Barisan Nasional yang menolak bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung sokongan terhadap Perikatan Nasional.

Ismail berkata gesaan Zahid tersebut adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno, dan ia tidak tertakluk kepada ahli Parlimen Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata 31 ahli Parlimen juga turut menyatakan maklum dengan sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong oleh perdana menteri di mana Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersetuju usul undi percaya dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada bulan depan.

“Pendirian kami ialah menjunjung kasih dan menjunjung titah baginda iaitu supaya kerajaan hari ini meneruskan pentabdirannya dan akan mententukan keabsahan di Parlimen.

“Ini jelas bahawa pihak istana tidak akan menerima akuan sumpah atau surat sokongan. Jadi jelas bahawa walaupun kenyataan daripada presiden Umno menyatakan beliau akan menghantar nama lagi, ini bertentangan dengan keputusan baginda,” kata Ismail pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga mendesak Zahid selaku pengerusi BN untuk berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen gabungan itu supaya menjelaskan hasratnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Zahid bahawa beliau bakal berdepan dengan tindakan disiplin kerana menyokong perdana menteri, Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen Bera itu berkata dia akan menunggu surat tersebut.

Terdahulu, Zahid berkata beliau akan menghantar lebih banyak SD kepada baginda sebagai bukti PN hilang majoriti.

Awal pagi tadi, MalaysiaNow turut melaporkan ahli Parlimen Bagan Datuk memberi kata dua kepada Menteri Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad untuk meletakkan jawatan atau dipecat daripada parti.

Selain menteri, ahli-ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno turut mendapat desakan serupa dalam usaha memisahkan parti itu daripada pentadbiran kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ketika ini.