Wednesday, September 22, 2021

Syed Saddiq minta dibicarakan atas 2 lagi pertuduhan

Pertuduhan ke atas beliau adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Other News

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua tuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram berjumlah RM100,000.i.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas menteri belia dan sukan membuat pengakuan itu di hadapan hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail dan meminta untuk dibicarakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Dalam prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan mahkamah mengguna pakai ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lepas.

Wan Shaharuddin juga memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 123 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Menurutnya, permohonan ini dibuat atas faktor kepentingan keadilan meskipun Seksyen 121 KPJ menyatakan di mana kesalahan dilakukan, di situ dituduh namun Seksyen 123 membenarkan mana-mana mahkamah membicarakan kes bekaitan.

“Ini kerana kes ini melibatkan saksi-saksi, pihak pendakwaan dan pembelaan yang sama dan kebanyakannya menetap di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Peguam Saddiq, Gobind Singh Deo tidak membantah cadangan jaminan dan permohonan pindah kes itu.

Dalam pada itu, Ahmad Kamal Arifin membenarkan ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai dalam kes ini iaitu jaminan RM330,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.

Selain Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan turut diwakili timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib dan Mohd Afif Ali.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pecah amanah dana bekas partinya, Bersatu berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles