- Iklan -
Berita

PAS kecewa langkah Zahid tarik sokongan terhadap PM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan beliau itu bercanggah dengan semangat piagam Muafakat Nasional.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tuan Ibrahim Tuan Man melambaikan tangan kepada petugas media. Gambar: Bernama
Tuan Ibrahim Tuan Man melambaikan tangan kepada petugas media. Gambar: Bernama

PAS hari ini menyuarakan rasa dukacita terhadap langkah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan ahli-ahli Parlimen Umno menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan tersebut tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti termaktub dalam piagam Muafakat Nasional.

“Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara dan usaha menangani penularan wabak Covid-19 serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid secara terbuka mendesak ahli Parlimen Umno untuk menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 29 Julai lalu.

Ia berikutan teguran Yang di-Pertuan Agong yang mengatakan tidak memperkenankan pembatalan ordinan-ordinan darurat yang diumumkan oleh kerajaan.

Zahid berkata ahli Parlimen Umno mesti melaksanakan keputusan mesyuarat MKT itu pada 7 Julai dengan menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin.

Pada 7 Julai, Zahid mengumumkan sokongan parti terhadap Muhyiddin sudah terbatal dengan alasan perdana menteri gagal memenuhi beberapa syarat Umno terhadap kerajaan PN.

Pada 3 Ogos lalu, beliau mendakwa memiliki akuan bersumpah yang mencukupi daripada ahli Parlimen yang menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin, dan menyerahkannya kepada Agong.

Baki akuan sumpah ahli Parlimen Umno yang lain juga akan diserahkan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan beliau masih memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat, di samping turut berkata usul undi percaya akan diadakan pada sidang Parlimen bulan depan.