- Iklan -
Berita

Mengalihkan kesetiaan bagi mengakhiri gabungan politik berkuasa?

Penganalisis mengatakan identiti parti politik mungkin menjadi lebih menonjol daripada pakatan besar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintasi bendera-bendera parti politik yang berkibaran sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 di Malaysia pada 2018. Gambar: AFP
Orang ramai melintasi bendera-bendera parti politik yang berkibaran sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 di Malaysia pada 2018. Gambar: AFP

Gabungan politik yang kuat dan dominan mungkin hanya akan menjadi sejarah apabila beberapa orang penganalisis meramalkan hubungan lebih goyah antara sekutu pakatan politik ketika gabungan politik yang sudah puluhan tahun berkuasa runtuh dan muncul blok-blok baru di arena politik negara.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, berkata pilihan raya akan datang bakal menyaksikan perubahan dalam kalangan parti-parti politik yang berada dalam pakatan kuat, menjadikan nasib pakatan politik sedemikian kurang seimbang jika gagal mendapatkan jaminan majoriti jelas.

“Setiap parti politik masing-masing perlu hidup sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Umno akan terus bergerak sendiri, PKR dan DAP pun sama.

“Kita akan lihat identiti parti akan jadi lebih menonjol, dan identiti setiap parti ini akan melenyapkan identiti gabungan politik masing-masing.”

Bagaimanapun Oh menambah tidak ada satu parti pun yang akan menang lebih dari separuh majoriti Parlimen.

“Tidak satu pun daripada mereka dapat menang sendiri-sendiri. Oleh itu, mereka perlu membentuk gabungan baru setelah pilihan raya,” katanya.

Oh memberi contoh Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang kebelakangan ini dilihat rapat walaupun berada pada pilihan raya sebelum ini merupakan musuh politik.

Baru-baru ini, Umno juga turut mengumumkan sejumlah ahli parlimennya menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), suatu langkah yang boleh menyebabkan gabungan itu menjadi tidak stabil.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN), yang menyaksikan banyak parti komponennya keluar daripada pakatan politik itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini hanya dianggotai Umno, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah selepas sekutu politiknya di Sarawak keluar daripada gabungan itu untuk membentuk pakatan mereka sendiri, Gabungan Parti Sarawak.

Gerakan, bekas parti komponen BN yang kini menjadi anggota PN, mendesak MCA dan MIC untuk bergabung dan meninggalkan pakatan BN.

Sementara itu, MIC, walaupun masih menjadi anggota BN, tetap menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PN sebagai kerajaan.

Penganalisis Ilham Center Hisommudin Bakar berkata apa yang disebut sebagai “Langkah Sheraton” tahun lalu sehingga menyebabkan kejatuhan PH menjadi butang “reset” bagi landskap politik negara.

“Tiada gabungan politik yang nampak jelas mampu merangka angka majoriti di Parlimen untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Dalam aspek gabungan politik juga masih belum jelas bagaimana akan berlaku nanti.

“Ini kerana semua parti lebih sibuk menumpukan kepada mengekalkan kuasa dan satu pihak lagi ingin menggulingkan kerajaan sedia ada.

“Ini menyebabkan persiapan pilihan raya boleh dikatakan semua pihak belum bersedia ke arah itu.”

Walaupun “Langkah Sheraton” berjaya menyatukan Umno dan PAS, ia bagaimanapun menyaksikan pembentukan parti serpihan Bersatu, iaitu Pejuang dan Muda.

Hisommudin berkata pandemik juga memainkan peranan dalam memisahkan parti politik dengan rakyat, sehingga setiap parti dilihat bergerak sendiri sepanjang tempoh itu.

Hisommudin turut memetik kajian yang menunjukkan perubahan dalam pola pengundian, mengatakan pengundi kini tertarik kepada calon individu daripada parti atau isu-isu semasa.

“Kajian ini dilakukan ketika rakyat sedang dibelenggu dengan pandemik Covid 19, maka pihak atau individu yang dilihat banyak berperanan membantu mereka ketika kesusahan adalah amat popular.”

Bagaimanapun Oh berkata pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu menunjukkan orang ramai masih mengundi mengikut sentimen parti politik.

“Saya tidak begitu yakin pengundian berlaku mengikut calon,” katanya.

“Di Sabah, ramai ahli politik terkenal mengatakan pengundi harus memilih mereka dan bukan parti mereka. Namun akhirnya, mereka dapat lebih sedikit suara.

“Saya rasa keperibadian calon tidak akan diutamakan daripada identiti parti.”