- Iklan -
Berita

Majlis pengebumian cetus kluster baru di Sabah

29 kes positif dikesan setakat ini hasil daripada 159 ujian saringan yang dilakukan terhadap kontak rapat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan melakukan swab daripada seorang wanita di Sandakan, Sabah untuk diuji Covid-19. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan melakukan swab daripada seorang wanita di Sandakan, Sabah untuk diuji Covid-19. Gambar: Bernama

Majlis pengebumian mencetuskan satu kluster baru Covid-19 di Kota Belud iaitu kluster Tampasuk, dengan 29 kes positif dikesan setakat ini hasil daripada 159 ujian saringan yang dilakukan terhadap kontak rapat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kes indeks melibatkan seorang juruwang bank wanita berusia 32 tahun disahkan positif pada 26 Julai lepas dengan mengalami gejala demam, sakit badan, sakit tekak, selesema dan batuk.

“Kesemua 29 individu yang positif ini telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah untuk rawatan dan pengasingan,” katanya menerusi sebuah kenyataan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata sebanyak 949 kes baru kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah semalam, menurun berbanding 1,010 kes yang dicatatkan pada Selasa.

Beliau berkata saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 570 kes atau 60.06% kepada jumlah kes keseluruhan, manakala 201 kes atau 21.18 peratus adalah daripada kategori saringan bergejala dan selebihnya saringan kategori lain.

Masidi pada masa sama turut meminta pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ketua mukim agar terus mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing sama ada Muslim atau bukan Muslim, supaya tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengebumian seperti kenduri, tahlil dan sebagainya.

Katanya, ia penting bagi mengelakkan penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baru yang semakin meningkat ketika ini khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial.