- Iklan -
Berita

Penduduk Petaling Jaya persoal kebenaran lanjutan pembinaan kontroversi PJD Link

Mereka berkata penduduk terus dibiarkan tanpa sebarang maklumat mengenai status PJD Link.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pejalan kaki berjalan melalui sepanduk bantahan projek PJD Link di Petaling Jaya, Selangor.
Seorang pejalan kaki berjalan melalui sepanduk bantahan projek PJD Link di Petaling Jaya, Selangor.

Penduduk Petaling Jaya menerima maklumat bahawa pemaju pembinaan lebuh raya kontroversi telah diberi lampu hijau untuk melanjutkan kerja-kerja pembinaan bagi peringkat seterusnya, mengatakan bahawa mereka diberitahu tidak ada sebarang permohonan dibuat di peringkat negeri atau persekutuan.

Dalam satu kenyataan, mereka merujuk sebuah laporan The Star Metro bertarikh 31 Julai yang mengatakan bahawa PJD Link (M) Sdn Bhd telah mendapat kebenaran daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Bahagian Perancang Jalan di bawah kementerian kerja raya.

“Penduduk Petaling Jaya dan Puchong tidak mengetahui status lebuh raya ini,” kata mereka.

“Lebuh raya PJD Link (yang difahami hampir 85% serupa dengan Kidex) telah membuat penduduk tertanya-tanya mengapa lebuh raya yang dibatalkan pada tahun 2015 kini kembali ingin dibina dalam bentuk lain bernama PJD Dispersal Link.”

PJD Link adalah projek pembinaan lebuh raya dengan empat laluan ekspres bermula dari plaza tol NKVE di Lebuh Raya Sprint dan berakhir di Bukit Jalil Highway Interchange.

Ia akan menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Kawasan DUN yang akan terjejas termasuk Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara.

Penduduk berkata bahawa mereka telah mengemukakan kebimbangan mereka berulang kali kepada Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin dan wakil Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran namun masih menunggu tindakan yang bakal diambil mengenai projek lebuh raya itu.

Mereka berkata kempen petisyen yang ditandatangani oleh ratusan penduduk juga telah diserahkan kepada Adun pada 30 Julai.

Selain itu, mereka juga mahu tuntutan semua penduduk dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, yang dijadualkan berlangsung dari 23 Ogos hingga 6 September, berdasarkan laporan terkini mengenai status lebuh raya itu.

“Penduduk yang terjejas mahu menteri besar dan kerajaan negeri Selangor komited untuk melaksanakan proses yang telus, termasuk mengadakan perbincangan awam yang teliti dan terperinci bagi mengumpul maklum balas dan bantahan terhadap projek itu sebelum keputusan dipertimbangkan mengenai lebuh raya tersebut,” kata mereka.