- Iklan -
Berita

Pejuang, Warisan turut serta gesa sidang khas Dewan rakyat diadakan segera

Pembangkang berkata mereka tidak boleh menerima isu sokongan terhadap perdana menteri ditangguhkan sehingga bulan September.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana panas sidang khas Dewan Rakyat selepas beberapa bulan ditangguhkan selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan Januari lalu. Gambar: Bernama
Suasana panas sidang khas Dewan Rakyat selepas beberapa bulan ditangguhkan selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan Januari lalu. Gambar: Bernama

Pejuang dan Warisan hari ini turut menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam menggesa sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul undi percaya sesegera mungkin sebelum 9 Ogos depan, selepas dua parti pembangkang itu dilihat mengeluarkan kenyataan berasingan yang menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Dalam sebuah kenyataan bersama, pembangkang berkata mereka tidak boleh menerima isu sokongan terhadap perdana menteri ditangguhkan sehingga bulan September.

“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,” kata kenyataan yang ditandatangani pemimpin-pemimpin utama PKR, Amanah, DAP, Warisan, Pejuang, Upko, PSB dan Muda selain seorang dari Bebas.

Menurut mereka lagi, sidang khas tersebut perlu diadakan mengambil kira keadaan pandemik dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan.

“Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawasanya usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan perdana menteri,” katanya.

Terdahulu, empat ahli Parlimen pembangkang menyertai PH menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

PH menegaskan mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas sejumlah ahli Parlimen kerajaan menarik sokongan mereka terhadap kepimpinannya.

“Ahli-ahli Parlimen PH bersama ahli-ahli Parlimen Tuaran, Simpang Renggam, Selangau dan Sri Aman, menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata kenyataan tersebut.

Keempat-empat ahli Parlimen itu adalah Wilfred Madius Tangau (Tuaran-Upko), Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu-Selangau), Masir Kujat (Parti Sarawak Bersatu-Sri Aman) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) bersama-sama tiga pemimpin utama PH, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.