- Iklan -
Berita

Muhyiddin masih perdana menteri selepas mengadap Agong

Perdana menteri berkata golongan yang mahu beliau meletakkan jawatan adalah mereka yang kecewa kerana pendiriannya yang tidak mencampuri urusan mahkamah mengenai kes jenayah yang dihadapi mereka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bercakap dalam sidang media hari ini dengan dihadiri ahli-ahli Kabinet.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bercakap dalam sidang media hari ini dengan dihadiri ahli-ahli Kabinet.

Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri akan ditentukan oleh undi kepercayaan dalam sidang Dewan Rakyat pada September, sehari selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan.

Muhyiddin berkata cadangan beliau juga sudah diterima oleh Yang di-Pertuan Agong sewaktu mengadap pagi tadi.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September. Melalui cara ini kedudukan saya sebagai perdana menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Yang di Pertuan Agong memperkenankan cadangan saya ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri ahli-ahli Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata sewaktu mengadap di Istana Negara hari ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memaklumkan kepada beliau lapan orang ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap beliau.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau turut menyembah maklum kepada Agong beliau memiliki akun bersumpah ahli-ahli Parlimen yang menunjukkan beliau masih memiliki majoriti sokongan.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai perdana menteri seringkali dipersoalkan. Maka, saya menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen,” katanya.

Menurut Perkara 43(4), perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri jika tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata jemaah menteri dan pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan tugas seperti biasa termasuk usaha program imunisasi Covid-19 yang kini mencatat rekod kadar vaksinasi tertinggi di dunia selepas lebih 22 juta populasi negara sudah menerima suntikan vaksin mereka.

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” tambahnya.

Muhyiddin berkata wujud pihak yang kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan tuntutan-tuntutan mereka, antaranya desakan mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Meskipun tidak menyebut nama, namun ia dipercayai merujuk kepada kumpulan “kluster mahkamah” dalam Umno.

Antaranya presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, bekas presiden Najib Razak, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan adalah antara mereka yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Kluster mahkamah merujuk beberapa pimpinan Umno yang kini berdepan beberapa pertuduhan rasuah di mahkamah.

Zahid semalam mengumumkan penarikan sokongan kepada PN daripada ahli-ahli Parlimen Umno.

Terdahulu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa sudah mempunyai angka yang cukup untuk menumbangkan PN.

“Saya juga dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.