- Iklan -
Berita

Jika PN jatuh, ‘kleptokrat’ akan kembali, ahli Parlimen DAP dalam dilema

Ahli Parlimen Damansara berkata, kekosongan kuasa akibat kejatuhan kerajaan akan menjadikan Umno lebih kuat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen pembangkang hari ini memberi amaran sebarang kekosongan kuasa yang terjadi akibat kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan diisi oleh Umno, menjadikan parti yang pernah mendominasi kerajaan itu sebelum ini, kembali menjadi semakin kuat pada pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua berkata ketika pembangkang mempunyai peluang terbaik untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin yang menjadi pemimpin utama menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun penggantinya mungkin adalah dari Umno.

“Dan jika pemimpin Umno jadi PM, bukankah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin kembali berkuasa)?” kata Pua yang dilihat merujuk “kluster mahkamah” dalam kalangan pemimpin Umno yang kini sedang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

Beliau berkata kembalinya Umno ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan akan menyaksikan parti itu akan mengukuhkan kuasa politik untuk “muncul lebih kuat selepas pilihan raya umum akan datang.

Katanya, langkah demikian mungkin bermakna pemimpin Umno “akan terlepas daripada kesalahan mereka”, sambil menambah pembangkang mungkin boleh ambil alternatif lain cuba bertoleransi dengan kerajaan PN “untuk sedikit masa saja lagi”.

“Ini bagi mengekang Umno, sementara PH dan rakyat akan dapat jatuhkan Muhyiddin dan Azmin pada pilihan raya umum akan datang,” tambahnya merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang mengetuai beberapa orang ahli Parlimen keluar daripada parti itu sewaktu “Langkah Sheraton” dilaksanakan tahun lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan beberapa bekas pemimpin kerajaan Barisan Nasional kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit.

Zahid dan Najib mengetuai kempen agar ahli-ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Tahun lalu, dua pemimpin Umno itu menyokong Anwar Ibrahim dalam usaha presiden PKR itu menggulingkan Muhyiddin.

Semalam, Zahid mengumumkan beliau dan beberapa ahli Parlimen Umno sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, mencetuskan perbahasan mengenai kejatuhan kerajaan.

Susulan pertemuan dengan pihak istana hari ini, Muhyiddin berkata beliau masih memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, di samping berkata akan mengemukakan usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.