- Iklan -
Berita

4 ahli Parlimen sertai PH gesa PM letak jawatan

Ahli Parlimen Tuaran, Simpang Renggam, Selangau dan Sri Aman bersama PH tolak kepimpinan Muhyiddin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berjalan kaki untuk menuju ke Parlimen Isnin lalu.
Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berjalan kaki untuk menuju ke Parlimen Isnin lalu.

Empat ahli Parlimen hari ini menyertai Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, PH menegaskan mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan mejoriti di Dewan Rakyat selepas sejumlah ahli Parlimen kerajaan menarik sokongan mereka terhadap kepimpinannya.

“Ahli-ahli Parlimen PH bersama ahli-ahli Parlimen Tuaran, Simpang Renggam, Selangau dan Sri Aman, menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata kenyataan tersebut.

Keempat-empat ahli Parlimen itu adalah Wilfred Madius Tangau (Tuaran-Upko), Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu-Selangau), Masir Kujat (Parti Sarawak Bersatu-Sri Aman) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) bersama-sama tiga pemimpin utama PH, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Zahid semalam mengumumkan penarikan sokongan kepada PN oleh beberapa ahli Parlimen Umno.

Terdahulu, ketua pembangkang Anwar mendakwa sudah mempunyai angka yang cukup untuk menumbangkan PN.

Bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi pagi tadi, Muhyiddin mengumumkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri akan ditentukan oleh undi kepercayaan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Muhyiddin berkata surat akuan sumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokong beliau sudah dimaklumkan kepada Agong dan berkata beliau masih memiliki majoriti sokongan.

Justeru katanya, peletakan jawatan beliau ketika ini adalah tidak berbangkit.