- Iklan -
Berita

Kadar vaksinasi harian Malaysia dahului negara-negara maju

Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kadar purata global dalam tempoh seminggu vaksinasi bagi setiap 100 orang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Berdasarkan tempoh seminggu purata pemberian dos vaksin bagi setiap 100 orang, Malaysia berjaya mengungguli kadar vaksinasi global dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dari beberapa negara maju, lapor Our World Data.

Setakat 1 Ogos, Malaysia memberikan 1.6 dos bagi setiap 100 orang, mendahului negara jiran Singapura (1.09, pada 31 Julai), Jepun (0.74) dan Korea Selatan (0.78, pada 31 Julai).

Kadar vaksinasi Malaysia juga menunjukkan ia mendahului kadar purata global (0.51).

Sementara itu, negara-negara Barat seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), masing-masing mencatat kadar purata 0.31 (pada 31 Julai) dan 0.20.

Kanada pula kini mencatat purata 0.73 dos vaksin Covid-19 bagi setiap 100 orang.

Kadar dos vaksinasi harian di Malaysia secara purata kini mencatat setengah juta dos, selain 22% populasinya mendapat vaksin setakat 2 Ogos.

Sejak dilancarakan pada 24 Feruari lalu, sekurang-kurangnya 21,668,999 dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kerajaan kini menyasarkan 50% populasi dewasa negara divaksinasi pada akhir bulan ini dan mencapai 100% pada bulan Oktober.

Malaysia dianggap sebagai negara yang lewat memulakan program vaksinasi berbanding negara-negara maju yang memulakan program mereka lebih awal.

Singapura memulakan kempen imunisasi pada 30 Disember 2020 sementara AS dan Kanada menjalankan suntikan vaksinasi pertama mereka pada 14 Disember.

UK pula bermula lebih awal, pada 8 Disember tahun lalu.